PAS Sokong Tindakan BNM, Bawa Pulang RM 1.83 billion 1MDB!

1294

PAS amat menyokong keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) membatalkan 3 lesen pelaburan asing 1MDB dan mengarahkan syarikat tersebut membawa pulang dananya yang berjumlah RM1.83 billion.

Ketua Penerangannya Ustaz Nasruddin Hassan berkata ia adalah rasional setelah BNM mengusulkan agar 1MDB didakwa dengan prosiding jenayah di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (ECA) 1953 ditolak oleh Pejabat Peguam Negara.

“Hakikatnya, keputusan Peguam Negara tersebut secara terbuka merendahkan kredibiliti BNM sebagai pengawalselia pasaran kewangan seolah-olah BNM tidak tahu membuat kerja.

“Dengan arahan ini, masyarakat dan komuniti perniagaan boleh menilai sendiri sama ada 1MDB benar-benar memiliki kecairan aset seperti yang selalu didakwa oleh PM dan kroni-kroni beliau di dalam syarikat itu atau pun segalanya merupakan suatu pembohongan bersistematik,”ujarnya dalam satu kenyataan.

najib 1MDBMenurut Ahli Parlimen Temerloh itu, sekiranya 1MDB gagal untuk mematuhi arahan BNM, Pejabat Peguam Negara tidak boleh lagi berdalih kecuali memulakan prosiding perundangan terhadap 1MDB memandangkan syarikat itu secara terbuka menyanggah kuasa BNM sebagaimana peruntukan Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) 2013.

Katanya, Peguam Negara adalah pegawai undang-undang yang dilantik oleh Yang diPertuan Agong, yang mesti mengambil kira kenyataan Majlis Raja-Raja berkait 1MDB baru-baru ini.

“Majlis Raja-raja menuntut penyiasatan telus dan adil dalam isu berkaitan 1MDB, sebarang dolak-dalik Peguam Negara mengundang risiko ‘lese majeste’ terhadap Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,”jelasnya.

Kata beliau, kerajaan UMNO-BN mungkin cuba menutup jejak jenayah mereka selepas ini dengan menukar kepimpinan Bank Negara bagi melemahkan penguatkuasaan FSA sekaligus menyelamatkan 1MDB dan memanjangkan talian hayat rejim korup pimpinan Najib.

Namun begitu, Ustaz Nasruddin memberi peringatan bahawa rakyat tetap akan menghukum Umno-BN dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kesemua rekod mengenai usul prosiding jenayah terhadap 1MDB, pembatalan lesen pelaburan asing dan arahan membawa pulang dana RM 1.83 billion kini telah menjadi pengetahuan umum,

“dan pastinya akan diungkitkan semula oleh rakyat dalam undian PRU14 kelak bagi menghukum kepimpinan UMNO-BN yang korup ini,”tegasnya