PAS Seru Bantu Mangsa Perang Di Yaman

2090

JENGKA – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru kepada seluruh rakyat di negara ini yang prihatin tanpa mengira bangsa dan agama agar sama-sama membantu menyumbang kepada mangsa-mangsa peperangan di Yaman.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tabung Yemen Care yang diwujudkan itu bagi membantu mangsa-mangsa peperangan di negara Yaman.

Menurut beliau, seluruh warga Malaysia tanpa mengira fahaman agama, bangsa dan keturunan wajar membantunya.

“Saya mengambil kesempatan pada hari ini untuk menyeru kepada seluruh warga Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan untuk sama-sama menyumbang kepada tabung Yemen Care yang bertujuan untuk membantu mangsa-mangsa peperang di negara Yaman.

“Kita sebagai rakyat yang prihatin mesti berusaha untuk membantu mereka yang ditindas dan golongan yang sedang menderita.

FENG1143-01_620_412_100“Serentak dengan itu saya mengharapkan kita semua berdoa kepada saudara kita dan agar saudara kita dan peperangan yang berlaku di Yemen dapat dihentikan dan keamanan dapat dikembalikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Masjid Lama Jengka, Pahang pada Rabu 14 Disember.

Dato’ Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa mangsa-mangsa peperangan tersebut ramai di kalangan orang tua, wanita dan kanak-kanak.

Justeru, katanya golongan mangsa tersebut amat memerlukan bantuan dan sumbangan bagi membantunya.

“Sebagaimana yang kita ketahui, sebahagian besar dari mereka menderita akibat peperangan ini terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang tua yang sangat memerlukan sumbangan dan pembiayaan daripada kita semua.

“Marilah sama-sama kita berusaha menggerakkan kekuatan dan membantu sebarang usaha untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa peperangan di Yaman.

“Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Yemen Care yang telah mengambil inisiatif untuk mengumpul dana menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada umat Islam di Yaman. Mudah-mudahan nasib mereka dapat dibela,” ujarnya.

Menurutnya, sumbangan itu boleh disalurkan terus kepada akaun Yemeni Care, No. 8602269245 (Islamic CIMB Bank) atau hubungi Setiuasaha Yemeni Care di talian 013-9680890.