PAS Sedia Kurangkan Kerusi Demi Kepimpinan Islam Melayu PRN Negeri Sembilan

25

SEREMBAN – PAS menyatakan kesediaan untuk mengurangkan jumlah kerusi yang ditandingi sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, pendekatan yang diambil ialah mengekalkan kerusi yang telah dimenangi, manakala kerusi yang kini dikuasai pihak lawan boleh dibincangkan dan diagihkan secara muafakat antara parti-parti yang bekerjasama.

Menurut beliau, usaha ke arah kerjasama itu sebenarnya telah bermula lebih awal, termasuk melalui perbincangan untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

“Kita sedang berusaha ke arah kerjasama. Pada peringkat awal dahulu kita telah mengusahakan kerjasama untuk mengambil alih kerajaan melalui Akuan Bersumpah (SD), namun usaha tersebut tidak menjadi kenyataan apabila ada pihak menarik diri. Kini masih ada ruang untuk kerjasama dan perbincangan sedang berjalan,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan rundingan antara parti-parti yang terlibat menunjukkan petanda positif, dengan pelbagai perkara termasuk pembahagian kerusi sedang diperhalusi.

Mengulas mengenai agihan kerusi, Abdul Hadi menjelaskan bahawa pembahagian akan dibuat berdasarkan kekuatan semasa setiap parti.

“UMNO mempunyai 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional mempunyai lima kerusi, termasuk tiga milik PAS dan dua milik Bersatu. Baki kerusi yang kini dipegang pihak lawan akan dibincangkan mengikut kewajaran dan kesesuaian,” katanya.

Beliau menegaskan PAS bersedia mengurangkan jumlah kerusi yang ditandingi sekiranya langkah itu dapat memperkukuhkan kerjasama serta meningkatkan peluang kemenangan.

“Kita melihat perkara ini berdasarkan kewajaran. Yang penting ialah mencapai matlamat bersama, bukannya mengejar jumlah kerusi semata-mata,” katanya.

Ditanya mengenai jawatan Menteri Besar sekiranya kerjasama tersebut berjaya membentuk kerajaan negeri, Tuan Guru berkata PAS tidak menjadikan jawatan sebagai keutamaan.

“Bukan soal jawatan yang menjadi keutamaan, tetapi matlamat kita ialah memastikan kepimpinan Islam dan Melayu terus menerajui Negeri Sembilan,” katanya.

Mengenai penggunaan logo pada pilihan raya nanti, beliau memaklumkan bahawa perkara itu masih dalam perbincangan dan keputusan muktamad akan dibuat selepas rundingan dimuktamadkan.

“Logo masing-masing masih menjadi pilihan yang sedang dibincangkan. Sama ada PAS menggunakan logo PAS atau logo Perikatan Nasional akan diputuskan kemudian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa keputusan akhir mengenai calon dijangka diumumkan pada malam penamaan calon selepas semua rundingan dimuktamadkan.

Tuan Guru menegaskan bahawa matlamat utama kerjasama tersebut adalah untuk membentuk sebuah pentadbiran yang kukuh melalui kesepakatan antara parti-parti yang terlibat, dengan hasrat memastikan kepimpinan Islam dan Melayu terus menerajui Negeri Sembilan.