KUALA TERENGGANU – Presiden PAS, Dato’ Seri Tun Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS itu sedia menjalin kerjasama politik dengan mana-mana parti demi kepentingan Islam memerintah.
Justeru, katanya sejarah PAS pernah mengadakan kerjasama itu dengan Parti Melayu Semangat 46, Parti KeADILan Rakyat (PKR), DAP termasuk dengan parti Umno.
Menurutnya, kerjasama yang diadakan PAS dengan parti-parti lain adalah bertujuan bagi kepentingan memperkasakan Islam memerintah.
“Tapi, malangnya orang (parti) ajak kerjasama dengan kita (hingga) hendak naik atas kepala kita dan Islam tidak memerintah.
“Kita kena sedar, orang PAS kena sedar…kita (hanya) jadi anak tangga sahaja. Bukan menjadi tangga untuk memerintah dan menegakkan Islam.
“Semua kerjasama PAS dengan parti-parti lain tujuannya hendak memperkasakan Islam. Islam memerintah. Malangnya, parti-parti lain yang ada kerjasama dengan PAS ini hanya hendak gunakan PAS sahaja,” jelasnya dihadapan 10,000 hadirin, ketika merasmikan Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.4, di Dataran Pekan Kemasik, Kemaman pada Jumaat, 30 September.
Katanya, cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 itu turut menguji kerjasama antara PAS dengan rakan-rakan tahaluf.
Menurutnya, hak orang bukan Islam juga dijamin oleh Perlembagaan Malaysia tidak melibatkan mereka dengan RUU tersebut.
“Bila sampai peringkat ini Allah Ta’ala dedahkan kepada kita, ada orang-orang Islam termasuk dari Umno, termasuk NGO menyokong pindaan Akta 355 ini untuk meninggikan taraf mahkamah syariah ini.
“Ada kalangan orang yang mengaku Islam tidak setuju diangkat ke mahkamah syariah. Di sana, ada orang bukan Islam seperti Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), hindu ada, budha ada, kristian ada dalam DHPP itu. Berlaku seperti di zaman Nabi SAW, dia orang bukan Islam tapi sokong undang-undang Islam, ini kita (PAS) terima.
“Ada orang bukan Islam yang tidak setuju dinaik taraf mahkamah syariah. Pada hal Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa mahkamah syariah hanya boleh menghukum orang Islam sahaja dan mahkamah syariah tidak boleh menghukum orang bukan Islam.
“Maka jelas DAP lawan Islam dan ada parti lain yang ikut DAP. Ada parti masih senyap, tidak ada pendirian dan ini adalah ‘lampu isyarat’ yang akan menentukan sikap orang Islam.
“Sama ada orang Islam ‘lampu merah’ langgar juga dan ‘lampu hijau’ baru berjalan. Kita akan tengok pendirian parti-parti ini kelak. Orang PAS kena tengok molek parti-parti ini dan sejauh mana mereka boleh bekerjasama dengan kita dalam menegakkan Islam,” tegasnya.