Kementerian Dalam Negeri (KDN) dinasihatkan lebih banyak menghabiskan masa untuk memikirkan cara untuk membanteras jenayah daripada mengambil peluang setiap kali berlakunya jenayah tembakan sebagai alasan untuk menghidupkan kembali Ordinan Kecemasan (EO).
Menurut Ketua Penerangan PAS Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, jumlah pengikut penjenayah EO yang telah dibebaskan pada 2011 telah meningkat kepada 260,000 orang mengikut perkiraan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Jika betul statistik yang dikemukakan beliau, apakah gunanya EO dalam membanteras jenayah tembakan?
“Apakah kerajaan bercadang hendak menahan 260,000 orang ini tanpa bicara sebagai langkah penyelesaian kepada jenayah tembakan yang semakin berleluasa kini?,”soal beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini, Rabu 14 Ogos
Beliau mengulas cadangan kerajaan Umno-BN yang mahu menguatkuasakan semula akta yang berkait menahan individu yang disyakki bersalah tanpa bicara seperti EO dan ISA.
Katanya, menahan suspek tanpa bicara tidak membantu menjawab persoalan bagaimana senjata api kini mudah dimiliki oleh para penjenayah di Malaysia kerana menurutnya, masalah yang dihadapi sekarang ialah tidak diketahui berapa orang yang memiliki senjata api haram di dalam negara.
Oleh itu, belia berkata, PAS berpendapat KDN perlu menfokuskan kerja kepada mematahkan saluran bekalan senjata api haram ke dalam negara. Gunalah segala perisikan yang ada dan bantuan daripada Unit Khas (Special Branch) untuk mengesan kebocoran senjata api ke tangan orang yang tidak berlesen.
“KDN juga harus mengaturkan semula keutamaan kerja polis supaya fokus utamanya adalah untuk membanteras jenayah dan membuat rondaan di jalan-jalan.
“Biarlah sekurang-kurangnya 60 peratus polis ditugaskan membanteras jenayah,”saran beliau.










