PAS Prihatin Dan Cakna Pelajar Cemerlang

115

Oleh : Rohayati Ripin

BESUT – Pemimpin kerajaan PAS Terengganu cakna perkembangan dan kejayaan pelajar cemerlang samada di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ataupun Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di negeri ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu, YB Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, beliau menghargai usaha mereka selama ini agar menjadi anak-anak Terengganu yang berjaya pada masa akan datang.

“Sebelum ini semasa program Motivasi Online bersama pelajar Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, saya telah berjanji akan memberi hadiah penghargaan kepada pelajar yang cemerlang dalam peperikasaan SPM 2020.

”Alhamdulillah, saya diizinkan Allah mengotakan janji saya dengan turun menyampaikan hadiah kecemerlangan kepada dua orang pelajar yang berjaya memperolehi keputusan A dalam semua subjek yang diambil,” jelasnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata demikian selepas program Penyerahan Anugerah Kecemerlangan SPM 2020 kepada dua orang pelajar Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jerteh, di kediaman masing-masing, pada semalam.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Dewan Undangan Negeri Terengganu, Aizat Safwan, Pengetua Sekolah Menengah Agama Nurul Ittifakiah, Ustaz Hilmi Hassan, Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad dan Pengerusi Mawaddah Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman.

Menurutnya, dua pelajar yang diraikan itu ialah Umi Najwa Binti Wahid, 11A dan Ahmad Nushhi Abrar Bin Syarifuddin, 9A dengan keputusan semua A.

Tambahnya, Umi Najwa dapat tawaran sambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) (Kampus Sultan Abdul Halim) manakala Nusshi di IPG Batu Rakit.

Justeru itu, beliau berharap dengan sedikit sumbangan yang diberikan dapat memberikan semangat kepada mereka untuk maju dalam bidang yang akan diceburi.

SMA Ittifakiah merekodkan seramai 21 orang pelajar mencapai keputusan 5A ke atas. Seterusnya menjadikan rekod terbaru dicapai dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 4.14 pada tahun ini berbanding tahun lalu 4.86.