PAS, Perikatan Nasional (PN) Kerajaan Menunggu

323

ALOR SETAR – Dengan kehadiran ramai anggota parti-parti kompenan Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti Sahabat serta lebih 10 Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan NGI Islam PAS ke Muktamar Tahunan PAS kali ke 71, PAS yakin akan memerintah kerajaan Malaysia pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata,
sokongan padu daripada pelbagai pihak jelas membuktikan rakyat semakin yakin kepada kepimpinan PAS dan PN sebagai alternatif terbaik untuk negara.

“Kita mengharapkan parti kita dan gabungan parti-parti yang dicintai ini terus diberikan pedoman dan bimbingan oleh Allah saw untuk membolehkan kita kembali memikul amanah memimpin negara.

“Dan menguruskan ummah ini berjalan yang diredainya bersedialah kerana kita adalah kerajaan menunggu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke 71 di Kompleks PAS Kedah, hari ini.

Menurutnya, sebagai sebuah parti politik yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan, PAS sentiasa membimbing ummah dan rakyat ke arah mencapai kerajaan Allah Mardhatillah dalam setiap aspek kehidupan sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Justeru, beliau menegaskan bahawa PAS sejak awal penubuhannya hingga hari ini tetap berpegang teguh, tanpa kompromi, kepada prinsip meletakkan kepimpinan ulama sebagai tunggak tertinggi parti.

“Kepimpinan ini disusun rapi dengan sokongan daripada golongan teknokrat, profesional dan aktivis di semua peringkat.

“Gabungan kepimpinan ulama dan umara ini berjalan secara progresif dan terpimpin, selari dengan konsep “Iqamatud-Din wa Siyasatud-Dunya Bih” menegakkan agama serta menguruskan dunia dengannya,” ujarnya

Untuk rekod, PAS menerima kemasukan ahli baharu secara konsisten pada kadar antara 20 hingga 3,000 orang setiap bulan. Sehingga kini, jumlah keahlian PAS telah mencecah sekitar 1.3 juta orang.

“Alhamdulillah, pendekatan ini telah diterima baik oleh masyarakat dan rakyat Malaysia, sama ada yang berada di dalam negara mahupun di luar negara.

“Kini PAS mempunyai satu lagi kategori keahlian baharu iaitu Ahli Bersekutu PAS.

“Pendaftar Pertubuhan Malaysia telah meluluskan pindaan Perlembagaan PAS pada 8 Ogos 2025, yang memperuntukkan keahlian bersekutu bagi individu berumur 18 tahun ke atas, warganegara Malaysia, dan menganut agama selain Islam,” katanya.

Dengan pindaan ini, semua ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang sebelum ini berstatus Friends of PAS akan diserap secara automatik sebagai ahli bersekutu.

Maka, DHPP kini bukan lagi sekadar sayap tidak rasmi, sebaliknya telah diiktiraf secara rasmi sebagai salah satu sayap PAS bersama Dewan Ulama, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan As-Sabiqun.

“Dengan kekuatan jentera yang semakin mantap dan sokongan daripada parti-parti sahabat,

“kita yakin PAS mampu mendepani cabaran yang mendatang, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 tidak lama lagi,” tambah beliau lagi.