KUALA TERENGGANU – PAS disifatkan sebagai parti penentu dan parti masa depan negara oleh parti sekutunya dan parti lawannya, setelah parti-parti gabungan Barisan Nasional (BN) melihat Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mampu bertahan dimasa depan.
Pengkaji sekutu BN, MCA memberi pengiktirafan kepada PAS dengan memberi gelaran PAS sebagai “The King Maker”, parti yang paling berpengaruh dalam politik Malaysia.
Fui K. Soong adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP), sebuah badan pemikir MCA menulis, PAS adalah sebuah organisasi yang paling teratur, bebas dari segi kewangan dan berbakat di negara ini.
Ia seiring dengan ucapan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah yang berkata PAS telah menjadi parti nasional yang mempunyai harga diri tinggi.
Katanya banyak pihak termasuk dari parti lawan Umno berusaha mahu memujuk PAS agar bersama dengan parti itu, kerana melihat kepada kekuatan PAS.
“PAS sudah jadi parti nasional, PAS sudah jadi parti negara yang telah diberi jolokan oleh pengkaji MCA sebagai “The King Maker”, penentu masa depan. Sebab itu, sekarang banyak pihak mahu kepada PAS termasuk Umno.
“Sesungguhnya, yakinlah…masa depan ini untuk kita (PAS) dan Umno tidak mampu bertahan lagi,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Nerus kali Ke-53, di Pusat Tarbiyah PAS Kuala Nerus, Batu Enam, dekat sini, pada Jumaat 14 September lalu.
Menurutnya, PAS dan ahli-ahlinya yang memperjuangan Islam mestilah bebas dan merdeka dengan menjadi ‘hamba’ kepada Allah serta tidak terikat dengan sebagarang kepentingan dunia.
Katanya, PAS mesti ‘konsisten’ dalam meneruskan agenda Islam dan mesti mempertahankan identiti dan jati diri sebagai sebuah gerakan Islam.
“kita boleh duduk dimana-mana sahaja, dalam dakwah kita boleh berkawan dengan sesiapa, kita boleh pergi kemana-mana, tetapi jati diri itu yang mesti dipertahankan,
“seorang ulamak yang memakai jubah dan serban boleh (perlu) bersaing dengan sesiapa sahaja, (boleh bersaing) dengan mat rempit, dengan orang hisap dadah, dengan orang minum arak boleh, dengan kaki zina pun dia boleh (perlu) bersaing,
“tapi jangan dia bersaing, nak ajak orang masuk Islam, dia turut perangai yang tidak baik itu,”jelas Mohd Amar.
Oleh itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menyarankan pemimpin dan ahli PAS perlu mempunyai sikap ‘optimis’ yang tinggi sebagaimana yakinnya RasuluLlah SAW dan para sahabat terhadap kemenangan Islam.
Menurutnya, isyarat yang ditunjukkan dan pencapaian PAS melalui keputusan pilihanraya umum kali ke-13 menunjukkan PAS berupaya menjadi kerajaan persekutuan pada pilihanraya akan datang.
Ia bertepatan dengan kenyataan mantan Presiden Umno dan mantan Perdana Menteri Malaysia sebagaimana dilaporkan dalam media perdana hari ini, Selasa 17 September.
Dr Mahathir berkata Umno akan “mati kerana usia tua”, pemimpin yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal dalam kuasa dan ramai ahli Umno yang mudah terpengaruh dengan rasuah.
Bekas Perdana Menteri itu dalam satu ulasan tentang pemilihan kepimpinan Umno dalam Utusan Malaysia semalam turut berkata, pemimpin Umno yang dipilih secara rasuah tidak akan teragak-agak ‘menjual orang Melayu’.
Mahathir juga berkata, Umno sudah tidak dipercayai oleh ramai orang Melayu dan akan kalah pada pilihanraya umum akan datang.
“Kita perlu menerima hakikat bahawa Umno hari ini tidak lagi dipercayai oleh ramai orang Melayu. Itulah sebabnya kenapa mereka yang menubuhkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.
“Jika mereka tidak mempunyai banyak pilihan, Umno tetu telah kalah dalam pilihan raya umum ke-13,” tulis Dr Mahathir.




























