PAS Parti Islam Terulung Menang

2502

Oleh : KAM

SETIU – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang ditubuhkan pada tahun 1951 merupakan sebuah parti jamaah Islam yang terulung menang di seluruh dunia.

Pencapaian itu bagi PAS suatu kejayaan yang besar di Malaysia, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan taujihat ringkasnya di Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.7, di Pengkalan Atap, Batu Rakit, Setiu pada Sabtu 29 Julai.

“Alhamdulillah, PAS telah mencapai suatu kejayaan yang besar di Malaysia ini. Kebetulannya, PAS adalah parti Islam yang ulung menang di seluruh dunia, yang memerintah.

“Kebetulannya, tahun 1959 negeri Terengganu negeri yang pertama PAS menang. Tahun 1959, PAS menang di Terengganu dahulu dari Kelantan.

 

“Tetapi, kemenangan kita di Terengganu hanya (setakat) tahun 1961 sahaja kerana kita telah dikepung, kita telah disekat. Kita telah dihalang dan ada wakil rakyat kita dibeli pada masa itu.

“Menyebabkan kerajaan kita jatuh di Terengganu. Di Kelantan, kita (PAS) menang selepas daripada itu. Kita (Kelantan) boleh bertahan hingga tahun 1978,” ujarnya.

Namun, katanya kerajaan PAS Kelantan juga menerima nasib yang sama dikepung, disekat bagi menjatuhkan penguasaan parti itu.

Menurutnya, Umno yang satu bangsa dengan PAS bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan.

“Kelantan pun kena kepung juga, kena sekat jatuh di Kelantan. Dan yang tukang ‘belasah’ bukan orang lain, saudara-saudara kita orang Umno.

“Saya sebut saudara-saudara kita orang Umno yang semasa dengan kita, sekaum dengan kita, sepuak dengan kita yang menghalang perjuangan kita.

“Kita ajak orang-orang Melayu khususnya yang beragama Islam supaya mendukung perjuangan kita (Islam). Jangan halang perjuangan kita, jangan sekat perjuangan kita,” tegasnya yang juga Ahli Parimen Marang.

Sehubungan itu, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, orang bukan Islam yang berbilang kaum di Malaysia hendaklah memberi peluang kepada Islam memerintah.

“Dalam masa yang sama, kita minta orang bukan Islam juga beri peluang kepada Islam. Orang bukan Islam, orang Kristian, orang Hindu, orang Budha…beri peluang kepada Islam untuk memerintah.

“Macam mana Islam memerintah. Jangan sekat, jangan halang. Kalau tak sekat, tak halang pun kerajaan kita di Kelantan, kerajaan kita di Terengganu. Kita pernah memerintah Kedah, di mana kerajaan kita (PAS) bersih dari salah-laku, bersih dari rasuah.

“Kita memerintah Kelantan bersih walaupun alam keadaan miskin, dalam keadaan susah kerana dalam Islam itu ada aspek rohani. Aspek dosa dan pahala, aspek beriman kepada Allah dan hari akhirat. Perkara ini tidak ada dalam ideologi-ideologi yang lain,” jelasnya dihadapan ribuan peserta Harap-PGU 3.7 tersebut.

Himpunan Harap-PGU 3.7 itu telah dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin. Hadir sama pada majlis tersebut veteran PAS, Dato’ Mustafa Ali dan Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong.

Pada himpunan mega PAS Terengganu itu, lima lagi tawaran awal manifesto pilihan raya diumum dan menjadikan 15 agenda manifesto PRU14 telah diistiharkannya.