Oleh: Dr Azman Ibrahim
Apabila Pas diumumkan berjaya mengekalkan kerusi Dun Sungai Limau walaupun dengan penurunan majoriti dalam PRK Sungai Limau, 4 November 2013 lepas, maka bergemalah suara-suara yang menyatakan, “Bila Pas menang maknanya SPR adil!”
Saya kata, walaupun Pas menang, hakikatnya SPR tetap bukan referee yang adil! Kalau SPR adil, saya yakin keputusannya akan jauh berbeza.
Sebab apa saya menyatakan begitu?
Adil apa, kalau PRK atau PRU dengan makna yang sebenarnya adalah Pas/PR lawan Kerajaan Malaysia bukannya lawan Umno/BN. Cuba BN lawan Pas dengan hanya berbekalkan kekuatan jentera parti sendiri supaya kita boleh berlawan di atas padang yang sama rata dengan SPR menjadi referee yang adil, Polis dan Majlis Perbandaran serta agensi penguatkuasa yang lain bertindak sebagai penjaga garisan. Apa pun keputusan perlawanan, kita tak akan pertikaikan.
Kita ingin melihat dan merasai suasana PRK tanpa ada program agihan anak ayam tajaan Kementerian Pertanian, milo dan gula berharga RM1 tajaan KPDNKK, gimik pecah tanah untuk projek itu dan ini, van dan bas Jabatan Kebajikan Masyarakat ada merata-rata di segenap ceruk kampung, pemimpin-pemimpin BN kesana-kemari dengan diiringi polis trafik, penggunaan premis milik rakyat seperti sekolah, masjid, balairaya dan dewan orang ramai untuk program kempen BN dan banyak lagi kalau nak disenaraikan.
Apatah lagi dengan fenomena mi segera dimasak di sana-sini. Ratusan juta ringgit projek diluluskan walaupun akhirnya hanya tinggal habuk dan angin. Tak percaya? Pergilah ke Kuala Besut! Silakan anda semua melihat dan menikmati kehebatan pembangunan yang sedang rancak mencacak naik sebagaimana yang dijanjikan dalam kempen PRK Kuala Besut baru-baru ini!
Rutin perjalanan harian saya dari Kota Bharu ke Jabi yang sebelum ini selalu menggunakan jalan pantai yang melalui Pekan Kuala Besut telah saya ubah kepada laluan biasa melalui jalan Kota Bharu – Pasir Puteh – Jerteh – Jabi, selepas PRK Kuala Besut. Bukan apa, sekadar nak mengelakkan kesesakkan lalu lintas yang meningkat secara mendadak ekoran kepesatan pembangunan yang sedang berlaku di Pekan Kuala Besut!
Kalau sedikit dari tempiasnya merebak ke Jabi, saya yakin, rakyat Jabi akan sangat bersyukur. Untuk makluman semua, di pekan Jabi, kita tak mengimpikan wujudnya gerbang perlancongan antarabangsa, kereta kabel untuk menaiki Gunug Tebu, masjid bernilai RM40 juta, rumah pangsa bernilai berjuta-juta. Kita tak mengimpikan semua itu walaupun tak dinafikan, apa yang diperolehi oleh rakyat Kuala Besut akan turut menerbitkan rasa iri hati masyarakat Jabi!
Kita ingin melihat media milik rakyat seperti TV dan radio tidak dimanipulasi atau jika nak dimanipulasi, ruang yang sama mesti diberikan untuk kedua-dua parti yang bertanding. Tak kan bila Umno/BN ada ruang di kaca TV dan di corong radio dari pagi sampai kemalam, adilkah kalau tak ada sikit pun ruang walaupun hanya satu jam untuk pimpinan Pas/PR sepanjang 10 hari tempoh kempen? Jangan salah faham, saya hanya membangkitkan isu penggunaan media elektronik milik rakyat. Yang dimiliki syarikat swasta, atas cerdik kamulah nak pusing macam mana pun. Itu pun kalau masih berbaki lagi sisa-sisa kecerdikan dalam pemikiran mereka yang menguruskan dan menentukan polisinya.
Perlu jelas juga, saya hanya mempertikaikan salahguna dan monopoli penggunaan media milik rakyat seperti TV1, TV2 serta stesen-stesen radio milik Kementerian Penerangan dan Komunuikasi. Adapun kalau Umno merasakan media swasta seperti TV3 adalah milik mereka, lantaklah! Biasa saya dengar ungkapan orang ramai apabila berlaku PRK dimana-mana tempat, “kalau kita tengok TV3, seolah-olah dalam PRK ini, BN adalah parti tunggal yang menyertainya!” Siaran dia pun percuma saja. Kalau kita tak nak tengok, boleh off saja. Persetankan segala etika penyiaran dan kewartawanan. Semua itu adalah teori-teori lapuk semata yang dah ketingalan zaman.
Juga saya tak mempertikaikan kalau BN merasakan akhbar seperti Berita Harian, Utusan Malaysia adalah milik mereka. Lantaklah kamu nak siar apa pun kalau semuanya dibiayai dari duit Umno! Tetapi kalau saham dalam kedua-dua akhbar fanatik Umno ini, ada bahagiannya dari wang rakyat, tolong nilaikan semula apa yang kamu buat itu betul atau tidak.
Adil apa kalau hari mengundi jatuh pada hari bekerja kemudian pandai pula Pengerusi SPR buat sidang media semalam (Selasa, 5 Nov 2013) antaranya memaklumkan bahawa SPR akan membuat kajian untuk mengenal pasti punca kenapa peratusan keluar mengundi menurun. Memang lawak macam Pak Pandir!
Kita mengimpikan suasana pilihanraya yang penuh kedamaian dan kemantangan. Kalau main bola, orang panggil ‘bermain dengan semangat kesukanan’. Tapi kalau pintu gol pun tak sama besar, padang tak sama rata, peraturan offside tak sama, pemain tak sama ramai, pemain lawan berkasut sementara kita berkaki ayam, masa kita PR dikasari, referee buat tak tahu saja, tetapi time lawan kita dicuit sikit, terus referee tiup wisel. Kalau inilah yang sedang berlaku sekarang, maka hanya pemain yang benar-benar mempunyai semangat kesukanan yang tinggi akan mampu bersabar dan meneruskan permainan tanpa berlaku kekasaran dan pergaduhan.
Kalau dalam permainan bola sepak, ada seorang berjawatan penilai pengadil akan bertugas untuk menilai dan melaporkan prestasi pengadil samada ianya menepati mutu yang dikehendaki atau tidak seterusnya diambil tindakan maka referee pilihanraya yang bernama SPR ini, siapa pula yang menilainya dan boleh mengambil tindakan?
Walaupun referee bola berat sebelah, biasa berlaku team yang kena tekan dan aniaya tetap mencapai kemenangan kerana team itu memang kuat betul di segenap posisi. Cuba kalu referee yang bertugas itu benar-benar adil, tentunya lawan akan kena belasah lebih parah lagi.





























