Oleh KAM
KUALA TERENGGANU – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang mendasari perjuangan Islam masih memerlukan kepimpinan ulamak sebagai tunjang kekuatan parti serta mengekalkan akhlak mulia Islam yang menjadi budaya tradisi gerak kerja PAS.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib PAS Pusat, Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok berkata menolak kepimpinan ulamak dalam PAS akan menjejaskan parti itu.


“Menolak kepimpinan ulamak di dalam PAS ini akan menjejaskan PAS. Sebab, tradisi PAS sejak ditubuhkan dan sejarahnya sampai sekarang ini (di bawah) pimpinan ulamak.
“Akhlak mulia Islam yang menjadi budaya tradisi gerak kerja PAS ini mestilah dipertahankan. Termasuklah akhlak itu, berwala’ kepada pimpinan. Berwala’ kepada perjuangan parti (PAS).
“Marilah kita sama-sama berpegang kepada perjuangan Islam, dasar Islam, pimpinan kita ialah pimpinan ulamak dan akhlak budaya tradisi kita ialah akhlak Islam. Jangan berubah dari tiga dasar kekuatan PAS ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hiwar Siyasi bertajuk “PAS Selepas 60 Tahun” anjuran Lajnah Dakwah, Kesenian dan Kebudayaan PAS Negeri Terengganu, di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai, hari ini.
Dr Daeng Sanusi yang juga mantan Naib Presiden PAS menegaskan bahawa dasar parti PAS sejak ditubuhkan itu adalah Islam yang mesti dipertahankan.


“Pendekatan dan strategi itu boleh kita (PAS) berubah sesuai dengan situasi dan kondisi semasa tetapi dasar (Islam) kita dan budaya (akhlak) kita jangan diubah sama sekali.
“Lebih-lebih lagi, jika perubahan itu yang kita(ahli) ingini hanya untuk kepentingan duniawi, untuk ke Putrajaya (memerintah) dengan meninggalkan Islam,” ujarnya.
Beliau turut membawa contoh beberapa buah parti dan gerakan Islam dunia yang mengambil pendekatan lunak secara drastik mengubah dasar Islam akhirnya sama seperti parti lain.
“Berapa banyak parti-parti Islam dan gerakan Islam lain yang merubah pendekatannya dan secara drastik merubah dasar-dasarnya (Islam), akhirnya menjadi (seperti) parti lain dan bukan memperjuangkan Islam lagi,” jelasnya di hadapan 400 hadirin.
Justeru, kata Dr Sanusi parti ini memerlukan kepimpinan ulamak dan orang yang mahu memperjuangkan Islam menyertai PAS.




























