PAS Marang Lulus Usul Kecam Anwar Sekat Royalti

99

MARANG – PAS Kawasan Marang telah meluluskan usul mengecam tindakan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyekat pembayaran penuh royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Terengganu sejak tahun 2023.

Usul yang dibawa oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang, Zahani Abd Ghani itu diterima dan diluluskan sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Marang kali ke-40 yang diadakan pada Sabtu.

Menurut Zahani, hasil petroleum adalah anugerah kepada rakyat Terengganu dan negeri itu telah menjadi pengeluar minyak terbesar di Semenanjung Malaysia.

Katanya, berdasarkan perjanjian sejak tahun 1974, Kerajaan Terengganu sepatutnya menerima royalti petroleum sebanyak lima peratus daripada Petronas, yang disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri tanpa melalui pihak ketiga.

“Walau bagaimanapun, sejak tahun 2000, pembayaran royalti ini telah disekat ketika PAS mentadbir negeri, yang didakwa bermotifkan politik untuk memberi tekanan kepada rakyat Terengganu kerana memilih PAS dalam Pilihan Raya Umum 1999.

“Ini terbukti apabila pembayaran royalti itu disambung semula setelah Barisan Nasional memimpin Terengganu pasca PRU 2004, walaupun dengan nama dan kaedah pembayaran yang berbeza,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.

Menurut beliau, sejak tahun 2019 hingga 2022, pembayaran royalti telah diterima secara konsisten.

“Pada tahun 2019, di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Terengganu menerima RM1.497 bilion.

“Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, bayaran royalti diterima sebanyak RM1.258 bilion pada tahun 2020 dan RM1.287 bilion pada tahun 2021. Pada tahun 2022, kerajaan persekutuan mengembalikan royalti sebanyak RM1.393 bilion.

“Namun, pada tahun 2023, dengan perubahan kepimpinan kerajaan persekutuan, polemik mengenai pembayaran royalti kembali timbul.

“Semuanya gara-gara Kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dilihat mengelak untuk membayar royalti kepada Terengganu, menyebabkan pelbagai program bantuan dan pembangunan yang diperkenalkan kerajaan PAS Terengganu sejak 2019 terjejas,” katanya.

Tegas Zahani, pelbagai alasan direkacipta demi menghalalkan tindakan menyekat dan melengahkan pembayaran sehingga menyusahkan rakyat.

“Padahal orang yang menyekat itu jugalah suatu ketika dahulu lantang melaungkan royalti minyak 20 peratus untuk Terengganu wajib diberikan tanpa sebarang alasan,” jelasnya.

Beliau berkata, sekatan tersebut menyaksikan rakyat terus diseksa, pelbagai siri bantuan yang diperkenalkan kerajaan PAS Terengganu sejak 2019 seperti pencen rakyat, skim kad sejahtera, ifitri, isiswa, ibelia tertangguh.

“Begitu juga dengan program-program dan pembangunan lain seperti lesen motosikal percuma untuk belia, pembinaan pusat autisme dan menaik taraf SRIDI dan SMIDI, ini juga tak dapat dilaksanakan waktu ini kerana sekatan royalti.

“Rakyat di bawah meraba-raba memohon bantuan, merayu agar hak mereka dikembalikan, tetapi ia dipermainkan oleh penguasa zalim di atas. Sekatan royalti yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan bukan sedikit nilainya,” ujarnya.

Secara fakta ujar beliau, Kerajaan Persekutuan di bawah DS Anwar Ibrahim masih berhutang wang royalti dengan Terengganu sebanyak RM1.182 bilion bagi tahun 2023 dan 2024.

“Ini hak kita, hak rakyat negeri Terengganu, kita wajib menuntut hak kita agar ia dikembalikan,” jelasnya.