Oleh : KAM
MARANG – PAS melahirkan rasa kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin parti DAP yang terus-menerus menentang Islam dalam perkara yang tidak ada kaitan dengan kepentingan orang bukan Islam.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara terbuka mendedahkan sikap DAP itu yang hendak bermusuh dengan orang Islam.


“Saya merasa kesal DAP yang menunjukkan sikap anti Islam. Terang-terang saya katakan (DAP) nak bermusuh dengan orang Islam, tak beradab dengan orang Islam.
“MCA, Gerakan, MIC (juga) tak setuju tetapi ada adab dia. DAP ini tak tunjuk adab, melenting dan terus menentang dalam perkara yang berkait dengan orang Islam, tak berkait dengan orang bukan Islam.
“Dan saya merasa kesal dengan Parti Amanah Negara (PAN) yang diperalat oleh DAP, yang telah melanggar sempadan agama dia sendiri demi kepentingan politik,” ujarnya dalam satu sidang media di Pejabat Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, di Masjid Rusila, Marang semalam Jumaat, 27 Mei.
Dato’ Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyangkal dakwaan kononnya isu Rang Undang-Undang (RUU) persendirian yang berjaya dibentang di Parlimen itu hanyalah gimik politik Pilihan Raya Kecil (PRK) di Selangor dan Perak.
“Kalau gimik politik (RUU) ini ‘menakutkan’ PAS sebenarnya kerana orang bukan Islam tidak akan mengundi PAS. Jika gimik politilah dan ini menunjukkan keterbukaan kita (PAS) terhadap orang bukan Islam. Ini tak berkait dengan politik pilihan raya,”tegasnya.


“Kita tidak tunduk dengan DAP dan telah bincang beberapa kali dahulu (Pakatan Rakyat) dan kita telah bersetuju dengan DAP untuk tidak bersetuju dan menjadi hak kepada kerajaan negeri Kelantan untuk mengemukakan apa-apa hak negeri Kelantan.
“Itu (persetujuan) bertulis dan saya boleh dedah balik, kita telah ‘sain’ (tandatangan). Itu hak dia (DAP) untuk tidak bersetuju tetapi masalahnya mengapa dia (DAP) mencampuri dalam urusan orang Islam. Campur urusan orang Islam biar ada adablah.
“Ini hanya gimik politik DAP untuk pilihan raya sebenarnya. DAP untuk pilihan raya dan biar dia sokong PAN. Undi PRN di Sarawak memberi isyarat kepada kita bukan semua undi kaum Cina akan mengundi DAP. Kita tidak boleh menghukum pengundi Cina dengan DAP,” jelasnya.
Kata Ustaz Abdul Hadi lagi pembentangan usul RUU Persendirian yang berjaya dibaca kali pertama di Parlimen itu mengikut peraturan-peraturan dewan.
Ini kerana, katanya bertepatan dengan saranan titah ke bawah Duli Yang Dipertuan Agong mahukan agar dinaik tarafkan Mahkamah Syariah.


Berkaitan dengan calon dan sokongan pengundi bukan Islam kepada PAS dalam kedua-dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar itu Ustaz Abdul Hadi yakin dengan keupayaan parti tersebut.
“Semua calon-calon PAS ini diluluskan Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS. Kita dari awal akan bertanding dikedua-dua kerusi (PRK) itu.
“Undi bukan Melayu kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) iaitu penyokong-penyokong PAS dan jika di Perak,
kita ada bekas Adun DAP yang bersama dengan kita, dia ada pengaruh dia di kalangan orang Cina dan India,” ujarnya.
Hadir sama pada sidang media itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ustaz Arifin Deraman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Marang.




























