Oleh KAM
SETIU – PAS menyangkal dakwaan penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani kononnya PAS tidak relevan lagi.
Sebaliknya, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Dato’ Abdullah Yakob bahawa PAS menjadi penentu kepada kerajaan Malaysia pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, nanti.
Menurutnya, harga PAS ketika itu menjadi mahal apabila pakatan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menang tetapi tidak cukup majoriti.
“Fenomena politik Malaysia sekarang ini, katakanlah PRU14 nanti Umno-BN menang (tapi) tak boleh tubuh kerajaan. Pakatan Harapan juga menang tapi tak boleh buat (tubuh) kerajaan.
“Maka, pada ketika itu PAS menjadi parti penentu kepada sebuah kerajaan. Sama ada (selepas itu) PAS bersama BN atau Pakatan Harapan dan PAS ketika itu jadi harga mahal.
Hadir sama pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dr Alias Razak dan Yahaya Ali serta Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman.
Kata Dato’ Abdullah, PAS boleh meletakkan syarat kepada mana-mana parti pakatan yang menang bagi menubuhkan kerajaan Malaysia selepas PRU14.
Dengan itu, katanya banyak agenda-agenda Islam yang terhalang sebelum ini akan dapat dilaksanakan oleh kerajaan baharu.
“Jika sebelum ini kita (PAS) terhalang untuk melaksanakan Islam atau terhalang untuk melaksanakan agenda-agenda kebajikan yang sesuai dengan Islam. Maka, pada ketika itu kita (PAS) boleh buat syarat. Insya’Allah, PAS akan jadi penguasa, PAS menjadi penentu kepada kerajaan Malaysia,” ujarnya ketika menjawab tuduhan PAS tidak relevan menjelang PRU14.
Beliau yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Lanas menegaskan PAS bertanding pilihan raya untuk menang dan jadi kerajaan.
Meski pun, katanya PAS menyedari kerugian tidak bersama Pakatan Harapan tetapi demi agenda Islam dan Melayu lebih diutamakan.
“Kita tahu kita rugi jika tidak bersama Pakatan Rakyat (Harapan). Kita tahu, kita rugi dengan tidak bersama DAP, tidak bersama dengan KeADILan (PKR). Tapi kita yakin Allah SWT tetap bersama dengan kita.
“Masa depan politik negara ini macam-macam boleh berlaku dan untuk ‘survival’ Islam dan survival kepada Melayu di Malaysia ini, PAS memang parti yang ‘power full’ dan penentu kepada negara ini untuk Islam dan agenda Melayu.
“PAS tetap hendak jadi kerajaan. Kita bertanding bukan untuk kalah, kita bertanding untuk menang. Tapi, kita tidak mahu kita bertanding dan kita menang tapi kita tidak boleh melaksanakan amanah Allah SWT.
“Jadi, daripada kita (PAS) menang dengan tidak mendapat redha Allah, maka lebih baik kita ditangguh kemenangan tetapi kita diredhai oleh Allah SWT,” tegasnya.
Harap-PGU 3.7 diadakan tahun ini selepas program mega yang sama di Besut (Harap-PGU 3.5) di Kota Putera dan Hulu Terengganu, Harap-PGU 3.6 di Kuala Berang.