PAS Hulu Besut Cadang Wujudkan Penempatan Baru

34

BESUT – PAS Hulu Besut mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil langkah membuat penempatan baharu untuk penduduk di Kampung La ke tempat lebih selamat dan tinggi.

Setiausaha PAS Kawasan Besut, Cikgu Shalahuddin Jaafar berkata, ini kerana kesemua penduduk di situ saban tahun menghadapi bencana banjir.

“Insya-Allah ada tanah kerajaan di kawasan sekitar ini yang boleh diguna untuk penempatan semula masyarakat di sini.

“Khususnya buat mereka yang tinggal di tepi sungai sebab mereka ini paling berisiko menghadapi mala petaka banjir serta rumah hanyut,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN(MTD) Hulu Besut, berkata demikian ketika ditemui di sini, pada Rabu.

Katanya, banjir luar biasa yang terjadi pada hujung tahun lepas benar-benar memberi kesan kepada penduduk.

“Ada yang masih trauma kerana kali pertama alami suasana yang begitu teruk tidak sebagaimana biasa.


“Walau bagaimanapun sekarang ini boleh dikatakan operasi pasca banjir, 80 peratus dari segi membersih rumah, dan sebagainya telah berjalan. Cuma kerosakan rumah,masih ada yang belum diperbaiki,” katanya.

Bagi rumah hanyut pula katanya, Pertubuhan Prihatin Anak Watan Terengganu berjaya membina dua buah rumah yang hanyut dalam musibah yang berlaku itu.

“Difahamkan dua buah rumah lagi akan dibina oleh pertubuhan tersebut bermula 21 Januari ini.

“Boleh dikatakan pada ketika ini PAS Besut membuat hubungan dengan pelbagai NGO daripada seluruh negara yang datang membantu untuk memastikan penduduk kembali pulih dan hidup seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyeru kepada rakyat Besut agar membuat pertimbangan yang rasional untuk memilih PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi memastikan kebajikan masyarakat terus terbela.

“Rakyat Besut boleh melihat sendiri komitmen PAS dalam menghulurkan bantuan, bukan hanya ketika menjadi kerajaan.

“Sebaliknya sejak dahulu, samada Jambatan Amal Malaysia dan NGO di bawah PAS sentiasa bergerak membantu rakyat yang berada dalam kesusahan dilanda musibah, “ujarnya lagi.