PAS Hadapi Cabaran Pertahan Kemenangan di SG4 – Ketua Pemuda Terengganu

450

ALOR SETAR – Cabaran utama PAS dan Perikatan Nasional (PN) ketika ini ialah mempertahankan kemenangan di empat negeri yang digelar sebagai Negeri Pangkalan (SG4) iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Menurut Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Hamdi Harun, kemenangan besar yang dianugerahkan Allah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke -15 bukan untuk bermegah, sebaliknya amanah besar yang mesti diisi dengan syariat Islam serta agenda kebajikan rakyat.

“Mencapai kemenangan itu sukar, tetapi mempertahankannya jauh lebih mencabar.

“Kita kini berdepan dengan fitnah media sosial, cabaran ekonomi global, isu perkauman dan tekanan daripada Kerajaan Persekutuan termasuk royalti petroleum Terengganu serta peruntukan Ahli Parlimen pembangkang,” katanya pada Perbahasan Muktamar Tahunan PAS ke-71 di Kompleks PAS Kedah.

Beliau menambah, SG4 bukan sekadar peta politik, sebaliknya markas strategi untuk memperkukuh pengaruh Islam di Malaysia.

Katanya, Kelantan terus menjadi benteng istiqamah dan Terengganu membuktikan keupayaan mentadbir dengan bersih, telus serta mesra rakyat.

“Kedah menonjol dengan kepimpinan tegas dan kekuatan anak muda.

“Perlis berjaya menembusi benteng politik walaupun negeri kecil,” ujarnya.

Apabila bergabung, SG4 akan menjadi teras kemenangan nasional.

“Insya-Allah, ia akan melebar ke negeri-negeri lain termasuk Pahang, Perak, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Ustaz Hamdi turut menekankan bahawa Terengganu akan memastikan setiap kerusi DUN dan Parlimen dipertahankan dengan gerak kerja berstrategi, tersusun dan istiqamah.

“Kemenangan ini adalah ujian besar. Ia bukan untuk bermegah, sebaliknya untuk membuktikan bahawa Islam adalah penyelesaian.

“Kalau kita bersatu, istiqamah dan kembali kepada penyelesaian Islam, insya-Allah, kemenangan lebih besar menanti di hadapan,” tegasnya.