PAS Dungun Bertekad Kuasai Lima Kerusi Pada PRU14

3547

Oleh : TSTA

DUNGUN – PAS Kawasan Dungun komited untuk merealisasikan hasrat PAS Terengganu memerintah dengan mengekalkan kerusi yang dimenangi dan bertekad untuk memenangi DUN Bukit Besi N-25 pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Yang Di-Pertuanya, YB Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, dengan gerakkerja yang tersusun dan komitmen daripada jentera semua peringkat, InsyaAllah kita akan dapat mengekalkan kerusi yang dimenangi pada PRU-13.

“Parlimen Dungun yang dimenangi dengan majoriti lebih 3,000 undi tentunya akan menjadi pembakar semangat kepada 3 DUN (Sura, Rantau Abang dan Paka) untuk terus bekerja mempertahankan kerusi yang dimenangi.”

“Manakala DUN Bukit Besi, kita akan terus memberi khidmat kepada masyarakat di sana melalui gerakkerja kebajikan untuk bertemu dengan semua pengundi” katanya semasa rehat pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Dungun Kali Ke-58 di Pinang Merah di sini.

YB Ustaz Wan Hasssan Mohd Ramli menambah lagi untuk mengekalkan kemenangan ini memerlukan semua penyokong dan pendokong memberi kerjasama dengan melaporkan perkara berkaitan yang memerlukan perhatian dan pertolongan terutama kepada pengundi dalam Kawasan Dungun.

“Dulu di DUN Bukit Besi kita tidak dapat masuk untuk berkempen pada PRU 13, sehinggakan kita nak masuk minum pun penduduk tidak suka”

“Tapi sekarang setelah banyak perkara kita buat seperti ziarah mereka bila ada kematian dan sakit dan juga pertolongan bagi meringankan beban harian, mereka dapat menerima PAS sejak kebelakangan ini.”

“Ini tentunya ada perubahan kepada pengundi N-25 itu sendiri”, katanya lagi.

Sehubungan itu, salah seorang pembahas semasa membuat ucapan, Mohd Nafi Abdullah dari PAS Cawangan Jalan Lembah, memberi gambaran PAS Dungun akan memberikan kemenangan 5-0 kepada PAS Dungun pada PRU-14 akan datang.

“Dengan komitmen YB di kerusi yang dimenangi, dengan kesungguhan gerakkerja, mempertahankan kemenangan saya berpandangan bahawa Dungun, kita dapat 5-0 dengan mengekalkan Parlimen dan 4 DUN”

“Walaupun Bukit Besi agak sukar tapi dengan gerakkerja yang disusun kita percaya kita dapat tawan kerusi N-25 tersebut”

“Kita pernah menang dulu pada 1999 dan tidak mustahil dengan semangat dan gembeleng tenaga sebab kita ada YB Parlimen yang dapat menyusun jadual beliau untuk bertemu masyarakat dan pengundi”,tambahnya lagi.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Dungun ke-58 telah dirasmikan oleh YB Ustaz Sallehin Mukhyi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Selangor yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat di Dewan Besar Darul Bayan, Pinang Merah di sini semalam.