PAS Dungun Atur Strategi

109

DUNGUN – PAS Kawasan Dungun telah menyusun strategi sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dijangka akan berlaku sebaik sahaja Proklamasi Darurat ditamatkan pada Ogos nanti.

Yang Dipetua PAS (YDP) Kawasan berkenaan, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, kesemua jentera di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) telah mula digerakkan.

“Kecuali DUN Sura yang akan dilancarkan gerak kerjanya pada 10 April nanti, menunjukkan bahawa kita telah lama bersedia,

“Dari segi kewangan melalui tabung khas kita sasarkan setiap cawangan dapat kumpulkan RM5,000 ,”ujarnya.

Beliau berkata demikian Ketika dihubungi pihak media, di sini, pada Selasa 30 Mac.

Dalam menzahirkan kecaknaan, kata beliau, PAS perlu menjadi pilihan utama masyarakat di Dungun, kerana terbukti memberikan tumpuan kepada aspek kebajikan.

“kita konsisten menyantuni pengundi bagi menyentuh hati mereka melalui ziarah warga emas, orang sakit, anak yatim, ibu tunggal, ibu kena tinggal sentiasa kita utamakan.

“bersama inisiatif kerajaan yang ada pada hari ini, keperluan rakyat telah dapat diselesaikan dalam memastikan kesejahteraan rakyat di sini,” katanya.

Mengulas mengenai isu mengundi mereka yang berumur 18 tahun, beliau berkata, penangguhan tersebut adalah tepat.

“Supaya kerajaan yang dibentuk nanti adalah matang bagi memastikan ianya kukuh serta stabil,” jelasnya.

Oleh itu, beliau menasihatkan semua anggota dan penyokong PAS, mengabaikan sebarang spekulasi yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak dan memberi mandat kepada pemimpin tertinggi memutuskan sebarang tindakan.

“Kita perlu dengar dan taat arahan pemimpin itu menjadi konsep utama kepada kita (PAS).

“Perpaduan ini perlu diteruskan dengan memperkukuh Muafakaf Nasional (MN) dan Memperkasakan Perikatan Nasional (PN) ”ujarnya.