oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
Harakatul ummah ini semenjak berada di pentas siasah negara telah mengalami tajribah politik dan segunung pengalaman yang sangat berharga. PAS diterjah, , diserbu, , difitnah dengan pelbagai gelaran dan momokan yang sangat menyakitkan.
Saat PAS dipimpin oleh Dr Burhanuddin al Hilmi mulai tahun 1956, parti Islam ini dimomokkan sebagai parti yang mendapat pengaruh Partai Komunis Indonesia yang dipimpin oleh D.N Aidit dan juga Dr. Soebandrio. Masyarakat Melayu yang masih diselimuti euforia ketakutan kepada gerakan komunis akibat darurat yang melanda begitu percaya dengan tuduhan tersebut. Gerak saraf UMNO menyebarkan risalah ke kawasan desa bahawa PAS telah menerima dana daripada PKI.
PAS sangat terpukul dengan perang saraf yang sangat hodoh dan menikam maruah diri.
Dr Burhanuddin al hilmi juga sebagai Presiden PAS akhirnya mendekam dalam penjara politik ISA Kamunting kerana dituduh ingin mendirikan kerajaan buangan dalam dekad 1960an. Dalam dekad 1970an, dengan PAS menyertai BN, terjahan terhadapnya agak perlahan namun dengan Peristiwa PAS ditendang keluar pada tahun 1977, maka serangan terhadap harakah ini makin gencar kembali.
Dalam dekad 1980an, dengan berbondong pulangnya ulama-ulama muda dari Timur Tengah dan menyertai PAS akibat pesona transformasi kepimpinan ulama maka dimainkan pula isu PAS adalah wahabi. Tuduhan paling tolol ini tak perlu dibuktikan dengan kajian dan analisa mendalam, cuma dengan alasan tokoh- tokoh ulama ini belajar di Universiti Madinah dan Universiti al azhar. Dibina jurang supaya masyarakat agamawan traditionalis pondok akan menjauhi PAS bila dituduh harakatul ummah ini pembawa fahaman wahabi.
Namun tuduhan ini berkecai seperti kaca terhempas ke lantai, bila ulama PAS jugalah yang mengajar kitab-kitab tua tradisional di mihrab masjid dan surau.
PAS diera kebangkitan Islam dekad 80an dan 1990an juga dituduh sebagai khawarij. Mencuat tuduhan ini dalam program BTN dan juga ceramah-ceramah pihak kerajaan BN. Khawarij yang muncul pasca perang Siffin pada tahun 37 hijrah, pasti jauh berbeda dengan PAS kerana PAS bukan keluar menentang kerajaan yang adil. Regim BN begitu jauh daripada roh Islam malah konsisten menentang Islam yang syumul. UMNO selalu keliru dalam menuduh dan menyudutkan PAS ketepi. PAS tetap dihati umat islam negara ini kerana ilmuannya paling tegar menyumbang pencerahan kepada masyarakat.
Kini tuduhan untuk menyeret PAS supaya dibenci oleh masyarakat Islam ialah dengan menuduh pimpinan PAS terlibat dengan syiah. UMNO sedar isu syria yang berkubang darah kaum Sunni sangat meruntun nurani umat islam negara ini.Kebencian kepada syiah sangat menyala dan menggebu maka kesempatan ini terus dimanfaatkan untuk memukul batang tubuh Pas dengan alasan yang sangat remeh.
Sebenarnya, PAS tiada kompromi dengan teologi syiah dan sejarah membuktikan pada tahun 1997 parti ini telah memecat tujuh anggotanya yang disahkan terlibat dengan teologi syiah.
Tuduhan demi tuduhan terhadap harakatul ummah ini dan sedikit pun tidak menjadi kudis gatal kepada PAS. Dokongan massa bertambah kuat malah berjaya merengkuh sokongan golongan kelas menengah serta memancing sokongan bukan Islam. Anak-anak muda ranggi terus menghurungi parti Islam ini yang sangat terbuka serta dinamik , seterusnya bakal meletakkan paku terakhir pada keranda UMNO BN dalam PRU ke 14.




























