PAS dan Umno kekal Bermuafakat, Dato Seri Tajudin Diminta Bertenang

184

Saya menghadiri mesyuarat Muafakat Nasional semalam. Alhamdulillah, harmoni dan berterusan komited dalam agenda perpaduan ummah!
Tiada abang besar. Tiada parti kecil atau besar. Semua memahami kepentingan bersama. Jauh sekali menyimpang dari ucapan Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Rakyat negara ini memerlukan pengukuhan penyatuan dan perpaduan ummah seperti diterajui Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional demi menjamin kelangsungan kepimpinan Islam. Sekiranya tidak, kita akan kembali diperintah oleh kalangan yang beragenda lebih bahaya dari penjajah.

Dalam keberkatan peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj ini, marilah kita hayati tuntutan untuk mengukuhkan Perpaduan Ummah ini melalui teladan turunnya kewajipan bersolat yang dilaksakan secara berjemaah dalam keadaan penuh tetib dan disiplin di antara Imam dan makmum serta antara makmum dengan makmum yang lain. Inilah diantara nilai-nilai ruh Perpaduan Ummah, tiada yang istimewa di dalam saff ketika solat melainkan kesemuanya bertanggungjawab untuk merapatkan saff dan meluruskan saff.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man seringkali mempedomankan kita untuk saling hormat, memaafkan dan melengkapi, serta tidak mengungkit-ungkit kisah lama. Bukankah nasihat ini tulus selaras diperintahkan Allah dan tanpa ada apa-apa kepentingan yang boleh diraih? Kita percaya keharmonian sesama kita boleh teguh terikat dengan nasihat sesama sendiri serta menyelesaikan setiap perkara secara musyawarah di meja rundingan.

Tidak juga perlu merasa bimbang atau rasa disaingi oleh parti yang kecil. Kerana demi agama, bangsa dan negara ini, PAS telah membuktikan kesediaan dan kesetiaannya memeterai ikatan bersama. PAS juga tidak pernah memperkecilkan mana-mana saudara politiknya. Adapun jika PAS dilihat besar, itu adalah perakuan dan pengiktirafan. Namun, PAS sama sekali tidak pernah mendabik dada mahupun berlagak untuk bersendirian.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

“Memimpin Negara”

YB SENATOR IR TS HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

Ketua Pemuda

Dewan Pemuda PAS Malaysia