PAS Dan Perjuangan Kemerdekaan

244

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ialah mata rantai perjuangan Islam melalui pergerakan para ulama’ secara berjemaah. Gerakannya bertitik tolak daripada kegiatan para ulama’ Nusantara, iaitu Jam‘iyyah al-Rusydiyyah pada tahun 1896 dari Riau yang berkembang hasil penubuhan Jam‘iyyah al-Fathaniyyah pada tahun 1873 dari Makkah melalui para pelajar dan jemaah haji yang berkunjung setiap tahun kerana menunaikan ibadat haji yang menjadi rukun Islam.

Mereka adalah dalam kalangan para pelajar yang menjadi ulama’ setelah pulang semula ke tanah air, manakala para jemaah pula sebahagiannya ialah pemimpin masyarakat dan para pedagang yang datang secara bertali arus. Sehinggakan, penubuhan jemaah para ulama’ tersebut dilakukan di Riau, sementara Syarikat Dagang Islam atau Sarekat Dagang Islam pula ditubuhkan di Jawa pada tahun 1905. Selepas itu, ia dikenali dengan Syarikat Islam atau Sarekat Islam pada tahun 1912 dengan cawangannya berkembang di kebanyakan negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

Kedatangan penjajah Portugis di Melaka pada tahun 1511 disertai dengan semangat Perang Salib dan kemarahan mereka terhadap kemenangan Islam yang telah berjaya menawan Konstantinopel sebelum itu pada tahun 1453. Kejayaan Portugis menjajah Melaka itu turut disambut di Kota Vatikan (Vatican City – yang dahulunya dikenali Basilica), Rom.

Gerakan penjajahan berlaku bukan kerana perniagaan rempah seperti yang ditulis oleh para penjajah dan murid-muridnya semata-mata. Akan tetapi, tujuan mereka yang lebih besar ialah menghapuskan Islam dengan menjatuhkan kerajaannya yang berada dalam keadaan lemah pada zaman mutakhir, disebabkan kelemahan dalam ilmu Islam dan ilmu dunia yang berpandukan Islam.

Maka, gerakan Kristianisasi (harakah al-tansir) dan gerakan pembaratan (harakah al-taghrib) dilakukan. Gerakan Kristianisasi gagal memurtadkan umat Islam daripada agama mereka kerana pegangan Islam masih kukuh, walaupun umat ketika itu jahil terhadap agama sendiri.

Pengajian agama, khususnya fardu ain dan al-Quran tetap diteruskan. Begitu juga solat Jumaat mingguan dan ibadat haji tahunan ke Makkah tidak mungkin dihalang kerana sangat rapat amalannya kepada penganut Islam.

Maka, serangan pemikiran melalui politik, pentadbiran, pelajaran, dan pendidikan dilakukan, di samping melemahkan aspek kebudayaan dalam pergaulan dan pemakaian.

Penjajah bertindak mengharamkan dan mengawal gerakan Islam yang menentang penjajah melalui pelaksanaan sekularisme yang memisahkan urusan keduniaan daripada agama Kristian, lalu dimasukkan ke dalam negara Islam yang dijajah, dengan merampas kedaulatan raja-raja dalam urusan negara serta mengekalkan urusan agama Islam yang sempit hanya dalam urusan peribadi dan perkara ibadat, munakahat, faraid (pusaka), dan harta wakaf sahaja.

Di samping itu, mereka turut mengawal pengajian agama dan khutbah Jumaat. Mereka menghalang kesedaran politik dengan memisahkannya daripada agama Islam. Mereka juga melumpuhkan kegiatan ekonomi umat Islam serta menghalang kemajuan sains dan teknologi yang menjadi ancaman kepada penjajah.

Para ulama’ bertindak balas dengan menubuhkan pusat-pusat pengajian pondok atau pesantren dan sekolah agama rakyat serta mengadakan pengajian di masjid, surau, dan rumah-rumah. Langkah tersebut berjaya menghidupkan gerakan ilmu dan pendidikan.

Penubuhan sekolah bagi mengembangkan agama Kristian gagal, lalu penjajah menukar kepada sekolah kebangsaan masing-masing dengan sistem yang mengawal pengajian agama, menghapuskan penggunaan huruf Jawi (Arab) kepada huruf Rumi bagi bahasa Melayu, serta mempelajari sejarah zaman jahiliah dan menutup kejayaan zaman Islam.

Apabila penjajah British mengambil langkah politik mengharamkan Syarikat Islam, maka kumpulan Islam menyertai penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 17 Oktober 1945; gabungan semua pihak daripada golongan kebangsaan mahupun berhaluan kiri. Apabila akhirnya kumpulan Islam ditarik, maka mereka memilih Dr. Burhanuddin al-Hilmi menjadi ketua mereka, seorang tokoh ulama’ yang dihormati oleh semua.

Seterusnya, apabila semua kumpulan Melayu bergabung dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bagi menentang agenda penjajah Malayan Union pada tahun 1946, semuanya menyertai gabungan itu. Setelah timbulnya krisis pendekatan kemerdekaan dari segi dasar dan konsepnya, keadaan tersebut menyebabkan berlaku perpecahan dalam UMNO.

Lalu sebahagian kumpulan Islam menubuhkan Hizbul Muslimin pada tahun 1948, manakala sebahagian lagi terus berada dalam UMNO dan menubuhkan Biro Agama dalam UMNO.

Namun, Hizbul Muslimin kemudian diharamkan dengan bertopengkan tuduhan komunis, padahal semua pihak yang menentang kerajaan penjajah dituduh sebagai komunis, di samping adanya kenyataan “bahaya dari gunung” sempena mengambil tempat penubuhannya di Gunung Semanggol.

Berlaku sekali lagi krisis dalaman UMNO berhubung dengan penerimaan wang perjudian loteri kepada UMNO. Kumpulan Biro Agama UMNO membantah, lalu sebahagian mereka keluar daripada UMNO dan bergabung dengan bekas ahli Hizbul Muslimin. Maka, mereka menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) ulama’ bernama Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) pada tahun 1951.

Akhirnya, pada tahun 1955, apabila Pilihan Raya Umum Pertama Persekutuan hendak diadakan pada 27 Julai 1955, PAS didaftarkan sebagai parti politik bagi menyertai pilihan raya dan berjaya memenangi satu kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Pada waktu itu, politik PAS juga menuntut kemerdekaan yang berbeza dengan UMNO. Beberapa tindakan PAS dilihat kritikal, antaranya mahu menghapuskan jawatan Penasihat British, membantah pengaruh British dalam sektor ekonomi dan ketenteraan, mengetatkan syarat kewarganegaraan asing, hak-hak orang Melayu, kedudukan bahasa Melayu, dan Islam menjadi agama rasmi negara.

Dalam Mesyuarat Agung Khas PAS pada tahun 1957 yang diadakan di Kuala Lumpur, PAS menolak penyata Suruhanjaya Reid dan bertegas menuntut kemerdekaan disegerakan. Oleh sebab itu, PAS menyokong Rombongan Pilihan Raya ke London dan menyertai Pilihan Raya Umum 1955.

Sebenarnya, perjuangan kemerdekaan bermula sejak tahun 1511 lagi dalam menentang penaklukan Portugis melibatkan jihad para sultan dan ulama’ di seluruh Nusantara, serta melibatkan semua wilayah Nusantara dan rumpun Jawa, Aceh, Bugis, Banjar, dan lain-lain. Perjuangan itu telah mengorbankan para syuhada’ yang bergelumang dengan darah dan air mata, bukan di atas hamparan permaidani merah yang dihamparkan oleh penjajah pada zaman mutakhir.

Malangnya, tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang asal ditutup dalam lipatan sejarah yang ditulis oleh penjajah. Inilah yang diajar kepada anak-anak sekolah pada zaman penjajah dan sehingga kini dalam keadaan mereka buta akan sejarah yang sebenar.

Akhirnya, kemerdekaan yang dihadiahkan adalah mentah (tidak masak). Walaupun penjajah itu sudah pulang ke tanah air mereka, bayangan mereka masih bertapak atas berbagai-bagai jenama seperti Komanwel dan segala cabangnya dalam mempengaruhi politik, ekonomi, pendidikan, sosial, dan lain-lain.

Krisis yang berpanjangan dalam segala aspek politik, ekonomi, pelajaran dan pendidikan, sosial, dan lain-lain ialah akibat bayangan oleh kemerdekaan yang mentah tersebut. Krisis yang sama turut melanda seluruh dunia Islam supaya Islam dihalang berdaulat semula dengan sempurna.

Wabak kelemahan ideologi ciptaan manusia yang sedang melanda negara penjajah dan sedang meruntuhkan kemanusiaan berjangkit kepada kita, sekiranya kita masih berada dalam bayangan mereka.

Kegagalan politik mahu menjadikan wawasan sebagai sebuah negara yang kuat dan maju menemui kegagalan, sementara kelemahan ekonomi terus membebani negara dengan berhutang dan menumpang. Sekalipun kaya dengan hasil buminya dan tenaga manusia daripada rakyatnya, namun ia tidak dimanfaatkan dengan baik.

Kelemahan dalam aspek pelajaran dan pendidikan agama dan ilmu dunia menjadikan masyarakat terus bermasalah dan tidak menyumbang kepada negara, sebaliknya menjadi bebanan yang ditanggung. Namun, kita masih teragak-agak untuk kembali ke pangkal jalan.

Kedudukan Islam dan bangsa terancam oleh kejahilan terhadap agama sendiri, sehingga apa-apa sahaja boleh disogok bagi mengelirukan kefahaman kepada Islam sebenar yang memberikan kekuatan dan keperkasaan kepada umat.

Kedudukan negara terus berada bawah bayangan penjajah baharu yang menonjolkan pemimpin mengikut percaturan mereka. Semua ini menunjukkan bahawa perjuangan kemerdekaan kita belum lagi selesai.

Rasulullah SAW berjuang bukan sahaja bagi menuntut kemerdekaan tanah air, malah termasuk kemerdekaan pemikiran yang menjajah bangsanya di Makkah, sehingga berlakunya Fathu Makkah yang terkenal dan bangsa Arab menjadi kaum yang mulia dan perkasa bersama Islam, memenuhi firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong-Nya (agama-Nya). Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 40–41]

PAS tetap memilih gerakan melalui jalan demokrasi kerana Islam mendahulukan cara atau pendekatan damai, sebagaimana firman Allah SWT:

۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kalian kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya, cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62) Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)” [Surah al-Anfal: 61–63]

Perdamaian diutamakan dalam menangani masyarakat Melayu yang menerima Islam secara damai, apabila para pendakwah terdahulu berjaya menyampaikan hidayah secara ilmu dan akhlak mulia kepada para raja dan rakyat yang menerima Islam mengikut raja-raja mereka. Sehinggakan, bangsa ini bersebati dengan Islam dan masih sayang terhadap Islam, walaupun jahil, malah Islam dan kebangsaan Melayu disatukan serta menganggap semua yang menganut Islam adalah Melayu.

Maka, para ulama’ PAS memilih pendekatan demokrasi, walau menghadapi kesukaran dalam membawa kefahaman dan kesedaran agar kembali semula kepada Islam kerana tempoh masa dijajah terlalu lama. Oleh itu, konsep menyebarkan ilmu dan kefahaman adalah diutamakan.

Perubahan boleh dilakukan melalui pendekatan Islam yang telah membuktikan kejayaannya yang cemerlang dalam menangani masa yang berubah, tempat yang berlainan, dan masyarakat yang berbeza.

Firman Allah SWT:

لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٞ مِّنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ يَحۡفَظُونَهُۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ ١١

“Bagi tiap-tiap manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran dari hadapannya dan dari belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.” [Surah al-Ra‘d: 11]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 11 Rabi‘ al-Awwal 1447 / 4 September 2025

[Bil: 58 / 2025]