PAS Sokong Kajian Semula Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar

245

KUALA TERENGGANU – PAS sokong kajian semula Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang diumumkan Umno melalui penubuhan Pasukan Khas bagi meneliti secara mendalam implikasi undang-undang tersebut terhadap rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, PAS bersedia menyertai sebarang perbincangan atau konvensyen yang dianjurkan, khususnya melibatkan parti-parti Melayu, demi memastikan suara umat Islam-Melayu didengar dalam proses penggubalan undang-undang.

“PAS yakin bahawa melalui wadah kesatuan Islam dan Melayu sahajalah kita dapat menyelamatkan negara daripada sebarang kerangka undang-undang yang berpotensi menzalimi rakyat,”jelasnya dalam kenyataan media.

Menurutnya, PAS berpandangan suara kolektif umat Melayu-Islam perlu diangkat secara serius dalam menggubal dasar pembangunan bandar agar kepentingan rakyat bawahan, keadilan sosial dan keseimbangan pembangunan tidak diabaikan.

Justeru itu, beliau menegaskan PAS akan terus komited memperjuangkan kepentingan rakyat bersama mana-mana pihak yang ikhlas dalam agenda penyatuan ummah dan mempertahankan kesejahteraan negara.