PAS Dan Pengalaman ‘Habis Manis Sepah Dibuang’

1323

Oleh : Salam Muhammad

Situasi mutakhir memperlihatkan ketegasan PAS untuk berdiri sebagai blok ketiga, Suara PAS jelas merdeka tanpa takut kepada yang mencela. PAS kini ada pakatan sendiri yang dinamakan Gagasan Sejahtera. PAS dengan tegas menyatakan tak akan berunding sama sekali dengan DAP yang konsisten menentang dasar Islam PAS.

Yang pastinya, PAS istiqamah menentang UMNO. PAS tidak membenci orang-orang UMNO. Inilah mesej PAS dalam visi dan misi Budaya Politik Matang Dan Sejahtera. Yang ditentang ialah dasar perjuangan dan amalan korupsi yang bersarang kukuh dalam batang tubuh parti bersimbolkan keris telanjang itu.

Maka orang-orang UMNO sewajar nya bersama dengan PAS untuk memartabatkan Islam dan memperbetulkan kerosakan bangsa ini.

Hari ini, parti baru Muhyiddin Yassin mengajak PAS bersatu menentang BN dengan syarat mesti duduk bersama DAP dan PAN. PKR pun mengajak PAS bersama dengan diberi syarat ‘garis merah’. Semua parti ‘orang-orang profesional’ ini memberi syarat kepada PAS. Yang pantang disebut ialah PAS memberi syarat kepada mereka.

Gagasan Malaysia sejahteraHidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Haji Subky Latif sudah pun menasihati mereka dalam tulisannya. Katanya, teruskanlah tanpa menunggu PAS. Ketua Lajnah Penerangan PAS, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi pun sudah membuat penjelasan. Bagi orang yang ada maruah, buat apalagi menunggu PAS. Tetapi kenapa PAS ditunggu setiap saat dengan penuh harapan?

Sebenarnya dalam jahat lidah mereka memfitnah dan menghina pemimpin PAS, mereka sedar PAS ada kekuatan suara teras Melayu/Islam. Akar umbi yang terbukti istiqamah dengan Islam, kental semangatnya, rela berkorban harta-benda, tenaga dan nyawa, ada di segenap ceruk rantau bumi Malaysia.

Inilah yang mereka mahukan untuk mencukupkan undi. Tenaga inilah mereka perlukan bila mengundi. Pejuang inilah yang diperlukan apabila mereka berasa mereka perlu dibentengi. Semua ini amat didambakan dalam menghadapi PRU14.

Sejarah telah memberi pengalaman baru kepada PAS. Laksana habis madu sepah dibuang. Tunggulah ketikanya apa yang berlaku pasca PRU13. Kata-kata “pemimpin PAS pembohong”, “geli melihat janggut ulama PAS”, “ustaz PAS ustaz Taliban”, “PAS punca pecah-belah pembangkang”, “PAS langgar prinsip”, “PAS mengkhianati undi rakyat”, semuanya kedengaran. Sejarah memahatkan gegak-gempita serangan dari luar dan dalam.

Hari ini mereka mahu mengulangi naratif yang sama. Namun PAS bertindak bijak menjadi sutradara. Bukankah naratif boleh diolah semula dengan kecerdikan pengarah? Naratif juga boleh dibakulsampah. Motif tulisanku ialah untuk menyatakan sokongan dan dokongan atas ketegasan pucuk pimpinan.

Serta, aku mengajak umat ini kembali bersatu di bawah payung kepimpinan para ulama.