PAS Bimbang Kedudukan Syariah Tergugat

112

KUALA TERENGGANU – PAS menzahirkan kebimbangan terhadap status undang-undang syariah di negara ini apabila wujud usaha pihak tertentu yang cuba menggugat enakmen yang telah dilaksanakan.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Wan Rohimi Wan Daud berkata, ada satu gerakan dikenali sebagai ‘Stategic Litigation’ yang berjuang puluhan tahun untuk merungkai sendi-sendi agama dan pelaksanaan syariah.

“Ada satu kumpulan yang melakukan perancangan yang berstrategik daripada awal 90-an untuk mencari kes-kes atau membina kes-kes yang boleh mematahkan atau merungkaikan sendi-sendi syariah dalam negara kita.

“Satu ketika dahulu kita boleh berbangga kerana negara akhirnya menerima perjuangan para pencinta pejuang undang-undang syariah dalam negara yang diketuai almarhum Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim yang meminda perlembagaan,

“memasukkan perkara 1A kepada perkara 121 perlembagaan persekutuan untuk memberikan bidang kuasa eksklusif kepada mahkamah syariah tanpa campurtangan mahkamah sivil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus pada Khamis 16 September.

Turut menjadi panel dalam wacana terbabit, Pensyarah Undang-undang UIAM, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz dan Peguam Bela dan Peguam Cara, Sallehudin Harun.

Sementara itu, seorang peserta wacana tersebut, Ahmad Rozi Sakiman berkata seluruh masyarakat, khususnya umat Islam dalam negara ini perlu bangkit mempertahankan undang-undang Islam.

“Kita perlu mengambil kefahaman dan kecaknaan terhadap setiap isu serta perihal berkaitan Perundangan Syariah, kesan-kesan dan implikasinya terutamanya kepada umat Islam.

“Perbicaraan kes cabaran Nik Elin di Mahkamah Persekutuan pada 20 November (Isnin) nanti secara tidak langsung akan memberi impak kepada keutuhan Perundangan Syariah di negeri Terengganu ini khususnya, dan di seluruh negara secara umumnya.

“Marilah seluruh umat Islam di seluruh pelusuk Malaysia, bersama kita hadir berhimpun di Pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya pada pagi 20 November nanti (esok), sebagai tanda solidariti kita umat Islam, mempertahankan pelaksanaan Perundangan Syariah di atas tanah air kita ini,” ujarnya lagi