KUALA TERENGGANU – “Pemuda PAS akan berada di belakang mana-mana pihak yang sentiasa mencari kebenaran dan membanteras salah guna kuasa,” ujar Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, ketika ditemui di Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Negeri Terengganu pada petang Khamis, 6 Ogos.
Muhammad Khalil yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat itu juga menegaskan bahawa asas penting bagi sebuah negara demokrasi adalah pemisahan kuasa perundangan, pentadbiran dan kehakiman itu sendiri. Sebarang campur tangan bidang kuasa akan menyebabkan proses demokrasi tercalar.
“Kita amat bimbang dengan perkembangan terkini isu 1MDB di mana pihak SPRM yang tugas mereka membanteras rasuah serta penyalahgunaan kuasa telah dihalang dari menjalankan tugas mereka sebaiknya ”


Menurut Khalil, pihak berkuasa yang bertindak menghalang tugas SPRM adalah suatu tindakan undur ke belakang dan tidak memberi kebaikan kepada negara ini.
“Kita patut menyokong segala usaha murni SPRM yang berjuang untuk menegakkan kebenaran. Pemuda PAS begitu komited menyokong mana-mana pihak yang berjuang untuk kebenaran, ” ujar Khalil.
Dalam pada itu, Kelantan dan Terengganu merupakan negeri terawal menyerahkan memorandum sokongan kepada pihak SPRM. Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengarahkan pemuda seluruh negara untuk turun memberi sokongan kepada SPRM di negeri masing-masing.
Sebagai rekod, Muhammad Khalil turun padang menyerahkan Memorandum Sokongan kepada pihak SPRM bersama-sama dengan Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan beberapa exco pemuda negeri pada petang Khamis.



























