PAS Besut Gerakkan Empat Gelombang Petugas Bantu DUN Maharani

24
Petugas PAS Besut Mohd Hafiz Yusoff bersama PA YB ADUN Kuala Besut Mohd Bin Sulaiman, mengiring calon PAS Ustaz Anuar Hayan

BESUT – PAS Besut menggerakkan empat gelombang petugas ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Johor membantu jentera Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, setiap DUN di Besut diberi giliran bertugas mengikut jadual yang telah disusun bermula 27 Jun hingga hari pengundian.

Katanya, gelombang pertama membabitkan petugas dari DUN Kuala Besut, diikuti DUN Jertih, Kota Putra dan Hulu Besut, dengan setiap gelombang menghantar sekurang-kurangnya 16 petugas menggunakan dua buah van.

“Gelombang terakhir yang diketuai DUN Hulu Besut bukan sahaja membantu kempen, malah turut bertugas sebagai ejen tempat mengundi (PACA) pada hari pengundian,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, penglibatan secara bergilir itu memastikan kekuatan jentera PAS Besut sentiasa berada di DUN Maharani sepanjang tempoh kempen.

Menurutnya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Besut turut digalakkan turun membantu mengikut giliran DUN masing-masing, manakala beliau sendiri dijadual berada di Maharani bersama pasukan DUN Kota Putera dari 4 hingga 8 haribulan.

Beliau menyifatkan penugasan tersebut sebagai amanah daripada Badan Perhubungan PAS Negeri bagi memastikan gerak kerja kempen PN di Johor berjalan lancar menjelang hari pengundian.