PAS Bersiap Siaga Hadapi Banjir Besar

265

DUNGUN – Parti Islam SeMalaysia(PAS) Kawasan Dungun bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika berlaku banjir besar seperti yang diramal oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai bulan ini hingga awal Januari 2022.

Yang Dipertua PAS(YDP), Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, KHIDMAT Malaysia Dungun yang antaranya dianggotai Jabatan Amal Malaysia (JAM) Dungun dan sayap-sayap parti telah didedahkan pelbagai kemahiran untuk berhadapan dengan situasi sukar yang bukan sahaja memerlukan pengalaman tetapi juga kemahiran.

“Anggota Amal kita yang memiliki rasa empati yang tinggi terhadap mangsa-mangsa banjir sehingga mereka tidak memikirkan risiko tetapi yang penting nyawa dapat diselamatkan,” jelasnya.

Ustaz Wan Hassan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Petugas Banjir PAS Kawasan Dungun yang diadakan di Dewan Al-Husna Markas Tarbiah Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah di sini pada 10 Disember.

Turut hadir di majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Cikgu Alias Harun, Abang dan Pegawai Penyelaras Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Beliau turut memakaikan jaket keselamatan kepada Komandan JAM Dungun, Tarmizi Hilmi Mohamad Zuber dan melepaskan kenderaan pacuan empat roda dan bot Penyelamat JAM sebagai simbolik Gimik Pelancaran.

Seterusnya, beliau berkata sebagai langkah berwaspada juga, anggota Amal telah didaftarkan untuk menerima insuran takaful sekiranya sebarang perkara tidak diingini berlaku.

“Untuk anggota Amal yang di bawah 18 tahun ke atas, kita tidak mengizinkan mereka terlibat dengan kerja-kerja yang berisiko,” katanya.