PAS Bersedia Hadapi Banjir, PRU-15

958

KUALA TERENGGANU – Parti Islam Semalaysia (PAS) bersedia menghadapi kemungkinan banjir dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata pihaknya sentiasa mengutamakan rakyat dalam semua perkara khususnya dalam menghadapi banjir.

Katanya, walaupun persediaan banyak tertumpu ke arah banjir namun PAS sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi PRU-15 ini.

“Pilhanraya peringkat Parlimen ini amat penting bagi rakyat dalam memilih pemimpin setelah kita memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat.

“Kerajaan PAS sentiasa mementingkan kebajikan dan keselamatan rakyat justeru persediaan banjir dan PRU-15 ini dibuat dengan habis baik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pelepasan Pelajar Terengganu ke Algeria sesi 2022 bertempat di Ruang Pelepasan Aras 2, Lapangan Terbang Sultan Mahmud semalam.

Tambah Satiful, PAS memilih untuk bersama Perikatan Nasional dalam menghadapi PRU-15 sepertimana yang telah diumumkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata keputusan itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah dalam mengutamakan rakyat.

Sementara itu, kajian yang dilakukannya oleh PAS sendiri mengenai isu rakyat keluar mengundi adalah mendapat maklum balas yang positif serta tidak perlu dibimbangkan lagi.