PAS Bersama Agensi Kerajaan Menghadap Pandemik

697

KUALA TERENGGANU – Para pemimpin PAS di semua peringkat bertungkus-lumus bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menyampaikan sumbangan bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha PAS kawasan Kuala Nerus, Ustaz Zakaria Dagang berkata, antara bantuan yang diberikan adalah keperluan barang dapur, susu bayi dan lampin pakai buang.

“Beberapa fasa bantuan telah disampaikan kepada rakyat berkenaan bagi meneruskan kehidupan dalam suasana getir ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir berkata demikian ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, PAS juga menggerakkan masjid dan surau untuk turut sama berperanan dalam membantu ahli-ahli kariah masing-masing.

Beliau menambah, penyelarasan telah dibuat dengan semua jawatankuasa masjid bagi menjayakan gerak kerja ini.

“Peruntukan daripada parti adalah sebagai menampung apa yang telah diberikan oleh kerajaan,” jelasnya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar mematuhi arahan PKP agar virus rantaian maut ini terputus di negera ini.

“Rakyat juga mesti mematuhi arahan kerajaaan supaya sentiasa berada di rumah dan tidak keluar tanpa tujuan yang terdesak,” tambah beliau.