Oleh : Suhaimi Taib
KUALA TERENGGANU – PAS berpijak di bumi nyata meletakkan sasaran menang 40 Parlimen dan merampas kembali negeri Terengganu dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14).
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, justeru itu PAS tidak bermimpi di siang hari dan berusaha memenangi jumlah kerusi tersebut kerana parti itu mempunyai kekuatan.
Sebaliknya menurut beliau, DAP dan PAN tidak sedemikian.
“Kita (PAS) berpijak di bumi nyata, kita tidak bermimpi kerana kita mempunyai lebih dari 190 kawasan dan cawangan di seluruh negara, tidak seperti DAP dan PAN,” tegasnya ketika ditemui pemberita di Majlis Sambutan Tahun Baru Cina (Lunar) di Perkarangan Pejabat Penyelaras PAS Kawasan Kuala Terengganu, di Jalan Banggol di sini pada Khamis 2 Februari.


Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi sambil menyindir kenyataan tersebut berkata jika tidur lena tanpa ada masalah sesiapa pun boleh bermimpi di siang atau malam hari.
“Kita boleh bermimpi di siang hari atau malam hari kalau kita tidur dengan baik, yang pentingnya kita tidur dengan baik, jangan tidur dalam keadaan susah dan rungsing,” ujarnya.
Beliau menegaskan parti pembangkang lain termasuk DAP dan PAN bergerak di ‘atas angin’ kerana parti-parti berkenaan tidak mempunyai kawasan dan cawangan seperti PAS.


Turut hadir di majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Haji Hanafiah Mat, ADUN Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Shukairi Wan Abdullah, Pengarah Penerangan PAS Pusat, Haji Amzad Hashim, Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Bandar, Ustaz Ahmad Shah, Setiauasaha PAS kawasan itu, Ustaz Mohd. Soud Said dan beberapa pimpinan PAS kawasan itu yang lain.
Haji Hanafiah dan Ustaz Wan Shukairi turut berucap di majlis berkenaan.
Terdahulu dari itu Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi berkata, PAS akan berusaha mendapatkan 40 kerusi parlimen, mengekalkan kemenangan di Kelantan dan Selangor, menawan semula negeri Terengganu dari tangan Barisan Nasional (BN).


Katanya, sebelum ini penguasaan ahli dewan rakyat di Parlimen tidak mengikut demografi penduduk di Malaysia.
“Siapa yang salah dalam masalah ini? Umno dahulu yang bersalah bukan Umno sekarang,” tegasnya ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan raya PAS Kawasan Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan itu di Kuala Ibai di sini, 31 Januari lalu.

























