PAS Akan Saman Sarawak Report Dan Husam

2997

Oleh KAM

KUALA NERUS – PAS tetap akan menyaman Sarawak Report dan Penasihat Parti Amanah Negara (PAN), Dato’ Husam Musa kerana memfitnah parti itu dengan membuat tuduhan kononnya PAS menerima RM90 juta dari Umno.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata urusan saman Sarawak Report di United Kingdom (UK) itu sedang dalam prosesnya.

Bahkan, katanya sebahagian dari urusan pembayaran kos guaman di UK telah dilakukan bagi tindakan tersebut.

“Kita (PAS) sedang buat proses saman itu di UK dan sedang berjalan…kita (PAS) sudah bayar (kos) sebahagian (proses) bayaran kepada peguam di sana (UK).

“Cuma (selain itu) sedang dalam proses pengumpulan data (maklumat) lagi. Surat pertama (tuntutan) telah kita (PAS) hantar dan tunggu masa sahaja, Insya’Allah,” tegasnya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Nerus Kali Ke-36, di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa (Komtaq), Batu Enam, Kuala Nerus, pada Sabtu 4 Mac.

Menjawab tuduhan Ahli Parlimen Salor, Dato’ Husam Musa bahawa duit yang diterima PAS dari Umno sebanyak RM90 juta itu kononnya disalurkan melalui Affin Bank, Dato’ Dr Mohd Khairuddin menyifatkan pemimpin PAN itu ‘kaki’ fitnah dan bohong.

Katanya, tindakan saman akan diambil terhadap Dato’ Husam yang disifatkan sebagai seorang ‘kaki’ fitnah dan pembohong terhadap PAS.

“Husam kaki fitnah, Husam pembohong dan Husam akan diambil tindakan (saman) itu oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Itu Ustaz Nasuruddin (Daud) akan mengambil tanggungjawablah,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Sarawak Report dalam satu artikel pada 6 Ogos tahun lalu mendakwa sejumlah RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin atasan PAS.

Manakala, Dato’ Husam pula mendakwa duit yang diterima itu disalurkan melalui sebuah bank tempatan iaitu Affin Bank.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha PAS Kawasan Kuala Nerus, Ustaz Zakaria Dagang dan Ketua Muslimat PAS Kuala Nerus, Ustazah Jamilah Jusoh.