KUALA TERENGGANU – PAS menegaskan parti itu akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.
Pesuruhjayanya, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata PAS akan meletakkan calonnya bertanding di Kuala Terengganu dan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar pula jika parti DAP yang bertanding PAS juga akan menyertainya.
Menurutnya, PAS tidak akan memberi kemenangan percuma kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) keatas kerusi-kerusi berkenaan.


“(DUN) Bandar ini kita (PAS) masih lagi ada hubungan tahaluf dengan Parti KeADILan Rakyat (PKR) tetapi tidak dengan DAP.
“Saya dapat makluman, ada masalah wakil rakyat sekarang (PKR) dan mungkin DAP akan ambil bertanding di Dun Bandar. Jika DAP yang bertanding di Bandar ini, PAS akan tandinglah.
“Jika PKR yang bertanding, kita (Terengganu) akan tengok keputusan PAS Pusat bagaimana. Hubungan dia (PAS) dengan PKR sehingga PRU akan dating,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai Majlis Perasmian Pejabat Penyelaras Parlimen PAS Kuala Terengganu dan Dewan Himpunan Penyokong PAS Kawasan Kuala Terengganu di Jalan Banggol, Kuala Terengganu pada Khamis 18 Februari.
Majlis itu diadakan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2016 bersama Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS Terengganu.


Ustaz Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka menjelaskan bahawa persiapan jentera parti PAS Terengganu bagi 32 Dun dan lapan Parlimen.
“Sekarang ini, kita (PAS) persiapkan jentera parti untuk pilihan raya di 32 Dun dan lapan Parlimen.
“Kita (PAS) harap supaya PKR yang ada hubungan dengan Parti Amanah Nasional (PAN) dalam Pakatan Harapan supaya kawal rakannya (PAN) itu. Jika dia (PAN) hendak bertanding juga di Kuala Terengganu maknanya dia (PKR) tidak pandai jaga kawan dia hingga BN boleh menang.
“Sebab, jika berlaku tanding tiga penjuru itu kemungkinan yang menang Umno-BN. Jadi siapa yang tolong Umno sebenarnya,” soal beliau.
Namun begitu, katanya PAS tidak akan membiarkan BN menang percuma tanpa tentangan meski pun menghadapi kesukarannya.


“Untuk Parlimen Kuala Terengganu ‘confirm’ PAS akan tanding dan sebab itu kita (PAS) buka pejabat ini. Pada PRU sebelum ini pun PAS pernah bertanding tiga penjuru di negeri ini seperti di Parlimen Dungun,” tegasnya.
Pejabat Penyelaras Parlimen PAS Kawasan Kuala Terengganu dan pejabat DHPP Kawasan Kuala Terengganu itu dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Pada majlais itu, kira-kira 100 keping angpau diagihkan kepada warga emas masyarakat Tionghua sempena tahun baharu itu serta jamuan rakyat disediakan oleh PAS Kawasan Kuala Terengganu.





























