Parti-Parti Lain Berpecah PAS Terus Kukuh

1596

Oleh KAM

PASIR PUTIH – Hakikat yang perlu disedari bahawa PAS hari ini merupakan parti paling tunggak yang kukuh manakala parti-parti lain sedang berpecah.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata PAS merupakan parti paling tunggak dalam negara.

Katanya, hakikat hari ini PAS tidak berpecah berbanding parti-parti lain seperti Umno, Parti KeADILan Rakyat (PKR), DAP dan MCA.

“Hari ini perlu kita sedar parti kita (PAS) menjadi parti yang paling tunggak di dalam negara. Parti yang tidak berpecah dan kita tak berpecah.

“Umno berpecah, PKR berpecah, DAP berpecah, MCA berpecah. Satu-satunya parti yang tidak berpecah zaman ini adalah Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

“Semoga Allah, anugerah kekuatan semulajadi kepada perjuangan kita (PAS) dan kita boleh membentuk kemenangan.
“Kemenangan yang paling dekat kita minta dengan Allah SWT supaya Allah tunjukkan (kemenangan) kepada kita dalam dua pilihan raya yang terdekat ini,” tegasnya.

IMG_20160602_072817Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat Kali Ke-55, di Dewan Seri Tanjung, Sweet Beach Resort, Tok Bali, Pasir Putih, Kelantan pada 1 Jun lalu.

Ustaz Nik Muhammad Zawawi yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu tidak menjadikan ahli PAS yang keluar parti itu sebagai perpecahan dalam parti.

Sebaliknya, beliau menyifatkan sebagai ‘pendatang asing’ yang dihantar pulang oleh pihak imegresen ke negara asal.

“Rakan kita yang keluar (parti) itu saya sifatkan seperti pendatang asing yang datang bekerja dalam negara, ditangkap oleh imegresen dan dihantar balik ke negara mereka.

“Mereka (ahli) yang tidak berwala kepada PAS tetapi masih ada yang duduk dalam PAS. Dalam tempoh terdekat, jika ada 10 orang yang keluar dari PAS, Allah akan mengganti 1000 orang,” ujarnya disambut dengan laungan takbir para perwakilan dan pemerhati muktamar.

Justeru, katanya PAS kini menjadi rujukan banyak pihak setelah berjaya meletakkan politik matang dan sejahtera bersama-sama dengan parti.

“Alhamdulilah, apabila parti kita (PAS) berjaya kita meletakkan politik matang sejahtera bersama-sama dengan kita.

“Ahli-ahli ekonomi yang sangat kusut apabila berhadapan dengan situasi ekonomi yang dikongkong oleh kuasa pemerintahan yang tidak bertanggungjawab lagi zalim.

“Mereka teraba-raba dan mereka mula menoleh kepada PAS. Apa agenda yang perlu PAS bawa bagi menyelamatkan ekonomi dalam negara kita.

“Apa agenda yang PAS ini harus bawa untuk menyelamatkan jenayah yang tidak terkawal dalam negara kita,” ujarnya.

Pada muktamar kali ini, seramai 20 orang Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat terpilih mewakili dewan tersebut ke muktamar penuhnya, 2 Jun 2016.