Parti Pak Lebai Dan Usaha Menyantuni Masyarakat , Bergulat Ditengah Medan Operasional

42
Bendera Gergasi PAS DUN Batu Burok

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

PAS yang menggalang gelaran parti pak lebai oleh penentang dan pembencinya kini telah menjangkau lebih 70 tahun di medan operasi masyarakat dengan rangkuman sayapnya menjangkaui sektor siasah, dakwah dan tarbiah negara ini. Keberadaan PAS sangat dirasai oleh massa dalam tiga segmen ini malah inilah relevansi PAS sebagai pemain utama politik negara ini, malah menempa nama di persada antarangsa. PAS menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan dan memimpin di tiga buah negeri jantung hati orang Melayu, Kelantan, Terengganu dan Kedah. Dianggotai ribuan ahli yang berdoktorat sehinggalah mencapah keanggotaannya dipelbagai bidang profesional.

Diakui lawan dan kawan, dalam guratan wajah ceria atau cemberut, diakui bahawa harakatul ummah ini mempunyai organisasi yang tersusun, manhaj perkaderan yang sistematik, tarbiah nizomi yang berpakej lengkap daripada pra sekolah sehinggalah peringkat pengajian tinggi. PAS dengan lebih sejuta keahlian dan dua juta penyokong adalah aset PAS yang paling berharga, mereka berdisiplin serta sanggup berkorban bagi mencapai aspirasi perjuangan Islam. Parti pak lebai ini juga mempunyai cawangan- cawangannya di luar negara samada Eropah atau Asia Barat, pastinya dengan kemahiran aras tinggi dalam pelbagai sektor.

Mengapa PAS terus relevan walaupun telah mencecah tujuh dekad umurnya?. Jawaban yang jujur adalah kerana parti Islam tertua ini sinonim dengan kerja kebajikan dan kemasyarakatan, rakyat tersentuh dengan petugas PAS saat mereka dalam kesusahan. PAS saat menang atau kalah, terus mengarusperdanakan gerakerja kebajikan dalam harakatul ummah ini. Maka PAS terus diingati dalam minda sedar rakyat bahawa PAS ialah sekelompok manusia yang sentiasa muncul disaat kepayahan dan kejerihan.

Amilin PAS hadir dengan senyuman bila berlakunya tragedi banjir, kebakaran, mengurus kematian, menyantuni sang miskin dan asnaf, membaiki premis dan rumah rakyat, memeriahkan kenduri, menziarahi yang uzur dan tenat juga menyediakan tabung pendidikan untuk yang memerlukan. Biar seluruh sektor masyarakat meletakkan PAS dalam jenama kebajikan yang sangat piawai. Pimpinan PAS memacu usaha membantu rakyat, memposisikan diri sebagai tokoh kebajikan dan peduli ummat.

PAS melalui sarana kebajikan memikul tangggungjawab yang besar akibat kehidupan rakyat semakin dijerut dengan kepayahan, penggangguran yang melata, krisis ekonomi akibat kesan pandemik kovid 19. Wabak yang mendunia ini juga merencatkan sedikit sebanyak pergerakan rakyat, melembapkan perniagaan dan menjejaskan sektor pelancongan. Parti pak lebai ini mempunyai bilik operasi bencana yang lengkap bagi menghadapi sebarang kemungkinan , bahkan pelbagai kursus kejurulatihan diadakan bagi persiapan bencana alam seperti banjir. Sejujurnya tidak ada parti politik di negara ini selengkap petugas bantuan yang PAS miliki ,beserta aset untuk terjun ke medan operasional.

Rakyat secara umumnya menilai sesebuah parti politik melalui gerakerja kebajikan dan tawaran kebajikan yang ditawarkan oleh sesebuah entiti politik. PAS cukup menonjol dalam arena dakwah dan pencerahan ilmu, asatizah PAS menguasai masjid, surau, pelbagai wadah ilmu. Begitu juga dalam bidang pendidikan, seterusnya menggilap lagi pengupayaan PAS dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan.

PAS yang dilecehkan dengan gelaran pak lebai jauh meninggalkan gerakan Islam antarabangsa yang lain, berdepan dengan pasang surut perjuangan, perpecahan dalaman, dimatangkan dengan mehnah sepanjang hampir tujuh dekad berjuang. PAS membias sinarnya kepada rakyat melalui kerja kebajikan, begitu juga gerakan Islam antarabangsa yang menonjol dalam gerakerja kebajikan dan kemasyarakatan. Jamiat Islami contohnya, mempunyai pelbagai jaringan sivil untuk menebarkan kepedulian dan gerakerja kebajikan, antaranya PIMA, Pasban, Masjid mision dan lain-lain lagi.

Gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin walaupun mengalami kekangan yang hebat, juga bergerak melalui jaringan sivil, menggerakkan NGO dalam pelbagai tugasan. Pertubuhan Milli Guruz yang diasaskan oleh almarhum Prof Dr Najmuddin Erbakan dengan pelbagai NGO kebajikan membantu ummat di peta luka umat Islam di benua Afrika, Sub continent juga membantu umat Islam di benua Eropah.

PAS dengan sebanjaran pengalaman emas juga perlu membina visi, merancang, melaksana, memantau dan mengambil tindakan segera dalam apa jua isu kebajikan rakyat. Pimpinan PAS dipelbagai peringkat, juga NGO -NGO rangkuman PAS turut memahami struktur organisasi kerajaan, Jentera Kementerian, dan Akta Peraturan berkaitan, dan menangani isu-isu kebajikan rakyat.

Penulis amat yakin , dalam tempoh sedekad lagi, PAS akan menjadi wadah utama umat Islam negara ini, jika pemerkasaan gerakerja kebajikan sentiasa dihati pendokong serta penyokong PAS. Parti pak lebai ini bersih daripada najis korupsi, mereka terbukti mampu mentadbir dan menggalas amanah, mempunyai kompetensi untuk merealisasikan konsep tadbir urus yang salih . Tolol sekali pengundi jika diberi pilihan memilih , maka pemimpin daripada parti bersalut KKN diberikan peluang lagi merosakkan citra negara baldatun toyyibun warabbun ghafur,bahkan sangat malang jika memberikan undi kepada pakatan yang menjunjung nilai liberalisme, anti Islam, anti raja ,bahkan mendobrak kestabilan agama dan bangsa.

(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)