Parti Liberal Australia singkirkan calon anti-Islam

755

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2010/07/r607037_3986051.jpgParti Liberal, parti pembangkang di Australia, telah menyingkirkan calonnya bagi kerusi Chifley di barat Sydney selepas calon itu memasukkan entri berunsur antiIslam dalam Facebook beliau.

David Barker (Gambar kiri) telah digantikan dengan Venus Priest, usahawan kecil-kecilan dan bekas jururawat yang berhijrah ke Australia dari Filipina pada 1995.

Pengarah Parti Liberal negeri Mark Neeham hari ini berkata Barker tidak mempamerkan sikap sepertimana yang diharapkan oleh parti bagi calon-calonnya yang akan bertanding pada pilihan raya 21 Ogos.

Ketua Pembangkang Tony Abbott menyokong keputusan parti itu, menyatakan kedudukan Barker “sudah berakhir”.

Barker menuduh parti pemerintah Parti Buruh membawa negara itu semakin hampir kepada sebuah negara Islam.

Sementara itu, dalam surat kepada pemimpin-pemimpin Kristian di kawasannya, Barker meminta sokongan mereka, menegaskan bahawa Julia Gillard ialah seorang  “ateis” dan lawannya di kerusi Chifley, Ed Husic, sebagai “penyokong kuat Islam”.

Abbott berkata kritikan terhadap sesiapa sahaja, berdasarkan pegangan agama mereka, tidak diberikan “sebarang” ruang dalam kempen pilihan raya itu.

Barker berkata beliau beragama Kristian tetapi tidak memusuhi orang Islam.

“Saya tidak “menyerang” mereka berdasarkan pegangan agama mereka, saya “menyerang” mereka berdasarkan ideologi mereka,” katanya.

Chifley ialah kerusi selamat bagi Parti Buruh. – Bernama