Parlimen Desak Tentera AS Dibicarakan Di Afghanistan

858

Insiden terbaru itu telah mencetuskan krisis terbaru dalam hubungan Amerika-Afghanistan kerana tentera AS tersebut dilihat sengaja melakukan serangan apabila mereka yang lengkap bersenjata dengan memakai alat melihat pada waktu malam, berjalan keluar dari markas mereka dan menceroboh masuk tiga rumah kampung

‘Kami serius menuntut dan menghendaki pemerintah Amerika menghukum mereka yang bersalah dan membicarakan mereka secara terbuka di hadapan rakyat Afghanistan,’ kata Dewan Rakyat Parlimen menerusi satu kenyataan.

Mengecam pembunuhan itu sebagai ‘kejam dan tidak berperikemanusiaan’, Parlimen Afghanistan mengisytiharkan bahawa rakyat sudah hilang sabar terhadap kejahilan tentera asing.

Insiden tembakan itu merupakan keganasan terbaru oleh tentera asing yang mencetuskan rasa marah di Afghanistan dan berlaku hanya beberapa minggu setelah insiden pembakaran Al-Quran di sebuah markas Amerika mencetuskan rusuhan yang membunuh 40 orang.

Puak Taleban, yang menyambut ulang tahun ke-10 pemberontakan terhadap kehadiran tentera asing pimpinan Amerika dan pemerintah di Kabul, mengancam akan membalas dendam bagi setiap warga Afghanistan yang terbunuh.

Bersedia menghadapi senario paling buruk, kedutaan Amerika di negara itu menggesa rakyatnya supaya lebih berjaga-jaga sambil memberi amaran tentang sentimen anti-Amerika dan tunjuk perasaan yang mungkin berlaku pada hari mendatang di wilayah timur dan selatan negara itu.

Presiden Amerika, Encik Barack Obama, telah menghubungi Presiden Afghanistan, Encik Hamid Karzai, dan berjanji siasatan akan segera dijalankan bagi kes pembunuhan yang mengejutkan itu.

Beliau juga berkata bahawa seorang askar Amerika kini ditahan pihak tentera berhubung insiden tembakan itu. — AFP.