Pakej Bantuan Permai: Sektor Agrikomoditi Komited Bantu Kukuhkan Ekonomi Negara

555

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. Sebagai kementerian yang terlibat secara langsung dengan pertumbuhan ekonomi negara dan eksport sebagai aktiviti utamanya, KPPK akan terus berperanan dalam usaha memastikan sektor agrikomoditi terus menjadi sumber aset yang menyumbang kepada kemajuan negara.

2. Seperti yang diketahui bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP 2.0 ini tidak sama dengan PKP 1.0 memandangkan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk beroperasi, dengan kata lain, melalui inisiatif PERMAI, kerajaan sedar bahawa kesan ke atas ekonomi akan lebih dapat dikawal.

3. Sektor agrikomoditi telah menyumbang melalui pendapatan eksportnya sebanyak RM133.2 bilion atau 15.1 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara sehingga November 2020. Nilai ini meningkat sebanyak 13.6 peratus berbanding RM117.2 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya. Produk berasaskan sawit adalah penyumbang terbesar iaitu sebanyak 48.6 peratus daripada jumlah eksport barangan agrikomoditi, mencatatkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus kepada RM64.8 bilion.

4. Dengan pemulihan perdagangan dunia, pertumbuhan eksport diramalkan akan terus memberangsangkan, justeru, sektor perladangan dan komoditi akan memanfaatkan kebenaran beroperasi bagi sektor perladangan dan komoditi oleh Kerajaan sepanjang PKP dan tempoh darurat. Sehubungan dengan itu KPPK mengunjurkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada tahun 2021 sebanyak 19.70 juta tan berbanding 19.14 juta tan pada tahun 2020. Ini berikutan jangkaan pengembangan kawasan tanaman sawit matang serta kesan cuaca kering yang mempengaruhi pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dan seterusnya pengeluaran MSM

5. KPPK juga menyokong sepenuhnya Inisiatif 4 PERMAI iaitu Memperkukuh Saringan Kesihatan Pekerja. Kementerian akan memastikan para pemain industri agrikomoditi memperketatkan amalan prosedur operasi standard (SOP), menambah baik penginapan dan kawalan pergerakan pekerja asing serta meningkatkan saringan bagi menyokong usaha membendung penularan COVID-19. Kementerian juga akan memastikan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dipatuhi kerana kegagalan mematuhinya boleh menyumbang kepada penyebaran wabak COVID-19.

6. Sebagai usaha kerajaan membantu rakyat khususnya golongan B40 dan M40, KPPK amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri melalui Inisiatif 5 PERMAI iaitu Mempercepatkan Bayaran Bantuan Prihatin Rakyat dengan bayaran fasa terakhir Bantuan Prihatin Nasional, atau BPN 2.0 akan dipercepatkan iaitu mulai 21 Januari membabitkan seramai 11.1 juta penerima dengan bayaran sebanyak RM2.38 bilion. Bagi Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR pula, bayaran fasa pertama akan melibatkan lebih daripada 8 juta penerima.

7. KPPK berharap dengan pengumuman pakej bantuan khas PERMAI mampu menjadi stimulus kepada usaha merancakkan ekonomi negara walaupun dalam keadaan yang sukar ketika ini kesan wabak COVID-19.

DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
21 Januari 2021