Pahala Berganda

155

Allah menguji lagi Presiden PAS dengan kesakitan. Pernah dahulu, ketika beliau menghadapi ujian yang sama, ada manusia yang buruk akhlaknya, mempersendakan beliau kerana ujian sakit itu.

Begitulah jelasnya bagaimana Allah mahu mengangkat darjat sang murabbi. Diujikan sakit, beliau bersabar, beliau mendapat pahala. Dihantar pula si mulut jahat untuk menghina, menambahkan lagi pahala sabar beliau. Malah dalam banyak keadaan, beliau tidak tahupun ada orang menghina, tetapi pahala tetap diperolehi.

Dikurniakan Allah keilmuan dan kepakaran, beliau mengajar, pahalanya terus mengalir. Beliau kemudian difitnah sebagai pembawa ajaran sesat, beliau bersabar, pahalanya terus berlipat-lipat kerana sabar.

Dianugerahkan pangkat oleh Allah, lalu beliau gunakan bagi menegakkan Islam semampunya, hasanahnya berjalan terus atas jasanya itu. Lalu didatangkan pula pembencinya dengan membawa penghinaan, beliau bersabar, maka pahalanya terus menimbun.

Dihadirkan keluarga, lantas beliau mendidik seluruh keluarganya menjadi keluarga yang taat untuk kekal berada pada landasan Islam, pahala beliau berjalan terus. Kemudian dihadirkan perasaan dengki oleh musuhnya, lalu membuat fitnah, maka pahalanya terus digandakan kerana sabarnya.

Dikalungkan kekayaan dunia, beliau mewakafkan harta-harta itu bagi kebaikan akhirat beliau, pahala sedekah itu tidak terputus sehingga akhirat. Lalu diutuskan pemfitnah menuduh beliau gilakan harta dan menyeleweng, maka pahalanya terus menggunung kerana tuduhan itu.

Begitulah cara Allah mengadiahkan kepada ulamak pahala. Ia sentiasa bertambah, berganda, tidak putus, berkembang sehingga kiamat. Tiadalah beliau didengki oleh semua orang kerana dua sebab. Pertama dengki kerana mahu mengikut jejak langkah beliau atas nama Allah. Dan kedua atas nama hasad yang mahu menghapuskan beliau.

Pilihan ada di tangan sendiri. Akibatnya juga ditanggung sendiri. Namun malang, akhirat itu bukan kepunyaan kita sendiri. Ia kepunyaan Allah yang akan menentukan balasan, mengikut kehendakNya. Hiduplah sebagaimana yang kamu mahukan, tetapi ingat, hidup ini ada aturan yang Allah tetapkan dan kamu akan mati, berjumpa denganNya.

Semoga Allah kurniakan kesembuhan dan kesihatan yang baik kepada Presiden PAS, bagi beliau terus membimbing ummah. Amiin.

Mohd Nasir Abdullah
16 Februari 2021