KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan Ketua Pemudanya yang baharu bersedia bertemu bagi menjalinkan kembali hubungan ‘dingin’ dengan Pemuda DAP dan Angkatan Muda KeADILan (AMK).
Ketuanya, Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Mat menyatakan kesediaan bertemu bagi menyambung kembali hubungan dengan rakan DAPSY dan AMK.
Menurutnya, pertemuan santai itu dihasratkan sambil minum kopi bersama di lobi Parlimen kelak.
“Saya fikir saya akan sambung balik dengan DAP dan DAPSY. Saya pernah jumpa dengan Ketua DAPSY Kebangsaan, (Teo Kok Seong ) di Parlimen dan saya janji kalau saya menang,
“saya minum kopi sekali dekat Parlimen. Dan Yang Berhormat, Nik Nazmi Ahmad pun, Insya’Allah saya akan jumpa dia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bercakap pada sidang media bersama Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfudz Omar dan Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh.
Ustaz Nik Mohd Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan menjelaskan bahawa Pemuda PAS lebih bersedia bertemu dengan Pemuda PKR dan Pemuda DAP.
Ini kerana, kata beliau sikap dan emosi di kalangan mereka itu lebih lunak serta berlembut dengan PAS.
“Kami Dewan Pemuda, kami (mungkin) berbeza pendapat (sikit) dengan Dewan Ulamak. Kami (Pemuda) berasa lebih bersedia sebab dengan Pemuda (Angkatan Muda KeADILan ) PKR dan Pemuda DAPSY Kebangsaan, sikap mereka lebih lunak, lebih lembut dengan PAS.
“Jadi, itu (perkembangan) saya gembira. Ada pun, Dewan Ulamak melalui usul dia itu merujuk kepada kenyataan pimpinan tertinggi (DAP). Jadi saya kira itu dua isu yang berbeza.
“Dengan saudara Suhaizan Kaiat (mantan Ketua Pemuda PAS) sebelum ini, kita sudah buat politik yang baik dan saya akan sambung (legasi) sahajalah, Insya’Allah,” tegasnya.
Hubungan PAS-DAP mutakhir ini menjadi ‘dingin’ apabila kepimpinan tertinggi parti DAP itu sering kali ‘menyerang’ PAS dan Presidennya terutama dalam isu Hudud serta kerjasama Pakatan Rakyat



























