Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang memiha k kepada Menteri Besar Barisan Nasional (BN) pada 9 Februari lalu
Katanya, ia bukan sesuatu yang mengejutkan dan menyifatkan keputusan tersebut sudah termasuk dalam ‘perancangan’ BN.
“Negeri dan negara ini semakin tidak demokratik. Sistem politik yang semakin bercelaru dan tidak ada lagi kebebasan dalam eksekutif, tidak ada lagi kebebasan badan kehakiman,” tegasnya ketika ditemui dipejabatnya
Beliau berkata, rakyat mesti peka bahawa semenjak dari pemerintahan Tun Dr Mahathir sehingga sekarang demokrasi semakin terhakis dan rakyat mesti bangkit untuk memulihkannya.
Katanya, sejarah ‘kepincangan’ yang melibatkan badan kehakiman berulang kembali sebagaimana tahun 1988 ketika pemerintahan Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.
“Sebenarnya, kerajaan akan mengawal apa yang dia (Barisan Nasional) telah rancang. Maknanya, ini dalam perancangan kerajaan BN.
“Keputusan (Dr Zambry) itu tidak mengejutkan kerana telah termasuk dalam pelan politik Najib,” ujarnya.
Menurutnya, jika rakyat mahu mengekalkan keamanan, negara ini mesti mengikut landasan demokrasi yang bersih.
Oleh itu, katanya, rakyat mesti bertindak dengan menjadi rakyat yang prihatin terhadap perkembangan semasa kerana ia tidak boleh dibiarkan lagi.
“Jika hendak negara ini aman, rakyat mesti menjadi rakyat yang prihatin dengan perkembangan ini dan tidak boleh dibiar lagi.
“Rakyat kena bertanggungjawab dalam memilih kerajaannya dengan membuat pemilihan yang tepat.
“Kita (rakyat) kena guna ‘kuasa’ rakyat dan menghukum pemerintah di ‘Mahkamah Rakyat’ (pilihan raya),” jelasnya.
Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Menteri Besar Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin serta mengekalkan Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.




























