

Versi dalam talian akhbar Jakarta Post semalam memetik ketua KPK, Encik Busyro Muqoddas, sebagai berkata bahawa 31 kes itu membabitkan wang suapan kira-kira 6.04 trilion rupiah ($858 juta) kesemuanya.
‘Pihak KPK akan terus menyiasat kes-kes itu,’ kata Encik Busyro pada satu sidang akhbar di ibu pejabat KPK, sekitar tengah malam kelmarin, sedang Nazaruddin disoal siasat.
Antaranya, termasuk dua kes membabitkan dua kementerian yang sedang menjalani ‘siasatan lanjutan’, tetapi kebanyakan kesnya masih dalam peringkat ‘pengumpulan butir-butir’, kata Encik Busyro, yang dipetik oleh laporan laman berita Tempointeraktif.com.
Nazaruddin kini rasmi menjadi seorang tahanan KPK dan sedang ditahan di pusat tahanan polis Kelapa Dua di Depok, Jawa Barat.
KPK akhirnya berupaya menangkap bekas penggubal dasar itu selepas para pegawai imigresen di Cartagena, Colombia, menahannya atas kesalahan imigresen.
Dia dibawa pulang ke Indonesia dengan diiringi beberapa pegawai KPK dan tiba di Lapangan Terbang Halim Perdana Kusuma di Jakarta, malam kelmarin.
Sementara itu, KPK semalam menamakan Neneng Sri Wahyuni, isteri Nazaruddin, sebagai salah seorang suspek dalam satu kes rasuah.
Encik Busyro mendedahkan status suspek itu awal pagi semalam selepas Nazarudin dibawa ke ibu kota KPK lewat malam kelmarin.
Jurucakap KPK, Encik Johan Budi, berkata bahawa Neneng telah dinamakan sebagai suspek sejak minggu lalu.
‘Neneng Sri dinamakan suspek pada minggu lalu berkaitan kes pembelian loji kuasa suria di Kementerian Tenaga Manusia dan Transmigrasi,’ kata Encik Johan, yang ditukil dalam laporan laman berita kompas.com.
Beliau bagaimanapun menambah bahawa KPK tidak tahu di mana Neneng berada sekarang dan ini menghalang rancangan mereka menyoal siasat.
Kes itu didakwa berlaku pada 2008, apabila Timas Ginting, seorang pegawai kementerian yang menamakan seorang suspek dalam kes berkenaan, didakwa menyalahgunakan kuasanya dengan meluluskan langkah mendapatkan khidmat dua syarikat bagi menyelia projek loji kuasa itu.
Syarikat-syarikat itu ialah: PT Mahkota Negara, milik Nazaruddin; dan PT Alfindo, yang juga syarikat bersekutu Nazaruddin.
Kes tersebut dipercayai menyebabkan pemerintah Indonesia kerugian 3.8 bilion rupiah. — Agensi.



























