Oleh: Dr Suhazeli bin Abdullah
Secara am, pesakit-pesakit Kencing Manis yang berpuasa mempunyai risiko-risiko tertentu terutamanya mereka yang tidak mengawal Kencing Manis mereka semasa sebelum puasa dan tidak mengamalkan pemakanan yang sepatutnya.
Antara risikonya – hypoglycaemia (Kekurangan paras gula dalam darah), hyperglycaemia (Paras gula dalam darah yang tinggi), dehidrasi (kehilangan banyak air dalam badan) dan boleh membawa koma.
Ini adalah kesan sampingan yang biasa berlaku kepada Pesakit Kencing Manis yang tidak mengikut arahan pemakanan ubat dan tidak mengawal tabiat pemakanan mereka atau bagi mereka yang telalu ketat pantang pemakanan.
Tugas pengamal perubatan adalah memberi penerangan yang secukupnya kepada pesakit Kencing manis ini mengenai resiko yang akan berlaku. Nasihat secara individu adalah terlebih baik dari secara kumpulan kerana tabiat pemakanan seseorang berbeza dengan seseorang yang lain.
Bagaimanapun, lazimnya pesakit-pesakit ini akan cuba juga berpuasa, apatah lagi Ramadhan setahun sekali. Apa lagi kalau sebelum Ramadhan mereka merasa sihat wal’afiat. Apa pun nasihat yang diberi, keputusan pastinya terletak di tangan pesakit ini sendiri.
Jika keputusannya nak berpuasa, mereka hendaklah dinasihatkan pula bagaimana untuk mengurangkan berlakunya risiko-risiko itu, bagaimana untuk mengawal keadaan fizikal dan paras gula dalam darah mereka. Mereka juga dinasihatkan juga belajar cara-cara pemakanan dan aktiviti harian, pengubahsuaian ubat, dan apa tindakan jika terjadinya komplikasi itu.
Memandangkan berpuasa adalah suatu tanggungjawab agama, elok jika istilah darurat atau tidak darurat untuk berpuasa tidak digunakan. Perkataan yang terbaik digunakan kepada Pesakit Kencing Manis ialah puasa dengan risiko tinggi, risiko sederhana, dan risiko rendah.
Antara mereka yang berisiko amat tinggi untuk berpuasa (very high risk) ialah:
1. Berlaku Hypoglycaemia (Kekurangan gula dalam darah) teruk dalam masa 3 bulan lepas,
2. Hyperglycaemia (Paras gula dalam darah yang tinggi) berulang-kali, paras gula yang tidak terkawal berterusan dalam masa 3 bulan lepas.
3. Mengalami koma akibat dari paras gula yang melampau dalam 3 bulan terdahulu,
4. Pesakit Kencing Manis Jenis 1,
5. Mengalami penyakit jangkitan semasa seperti jangkitan paru-paru, kaki bernanah atau atau mendapat serangan sakit jantung.
6. Perempuan hamil
7. Pesakit buah pinggang yang menjalani Rawatan dialisis.
Mereka yang berisiko tinggi (high risk) pula adalah
1. hyperglycaemia (Paras gula dalam darah yang tinggi) sederhana (Bacaan HBA1c 7.5-9.0%). Sila bertemu Pegawai perubatan untuk mengetahui paras HBA1c anda,
2. Pesakit yang mempunyai kegagalan buah pinggang,
3. Pesakit bersendirian di rumah terutamanya yang memerlukan suntikan insulin,
4. Pesakit warga emas yang mempunyai masalah kesihatan lain.
5. Pesakit yang telah mendapat Komplikasi Kencing manis seperti Angin Ahmar atau serangan jantung.
Mereka yang berisiko sederhana adalah:
1. Pesakit yang terkawal paras gula dalam darahnya.
2. Pesakit yang mengambil suntikan insulin ‘Short-acting’ seperti Humulin R, novonorm.
Mereka yang berisiko rendah pula adalah
1. Pesakit senantiasa mengawal paras gula dalam darahnya, juga mengamalkan pemakanan yang seimbang bagi pesakit kencing manis.
2. Tidak mempunyai masalah sampingan seperti kegagalan buah pinggang atau angina ahmar.
Biasanya mereka yang dalam kategori berisiko rendah boleh berpuasa tanpa mempunyai banyak masalah yang besar. Bagi kategori sederhana boleh berpuasa dengan pemantauan rapi dari doktor. Manakala kategori berisiko amat tinggi dan tinggi dinasihatkan tidak berpuasa.
Yang penting bagi mereka ialah perlu sedar dengan keadaan fizikal mereka sendiri. Pesakit yang senang memahami nasihat doktor boleh diajar menyukat paras gula mereka sendiri di rumah.
Beberapa nasihat umum kepada Pesakit Kencing Manis ialah:
1. banyakkan minum air,
2. lewatkan waktu sahur,
3. senaman yang berpatutan (tarawih kira senaman juga) dan
4. berbuka jika ada tanda-tanda hypoglycaemia (paras gula rendah)
5. Berjumpa dengan doktor untuk melakukan sedikit pengubahsuaian cara memakan ubat semasa berpuasa. Contohnya jika Pesakit mengambil ubat tiga kali sehari, boleh di ubahsuai kepada dua kali dengan panduan yang akan diterangkan oleh doktor.
***Dr Suhazeli bin Abdullah adalah Pakar Perubatan Keluarga