Langkah itu dilihat sebagai usaha menyingkirkan tunggul-tunggul tidak berguna daripada pejabat perdana menteri tersebut menjelang pemilihan Umno tahun ini, kata sumber-sumber daripada Barisan Nasional (BN) kepada sebuah portal berita tempatan.
Setelah dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya umum Malaysia pada 5 Mei lalu, Datuk Latt Shariman Abdullah, Datuk Shahlan Ismail, Datuk Mohd Shafei Abdullah, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh dan Datuk Mohamed Suffian Awang telah diserang sekumpulan penulis blog Umno dan pengkritik prokerajaan kerana kekalahan mereka yang memalukan dalam pilihan raya umum ke 13 itu, lapor The Malaysian Insider (TMI), semalam.
Kelima-lima individu itu telah dilihat oleh para ahli strategi ‘bilik perang’ Datuk Seri Najib sebagai mempunyai peluang terbaik menang dan membantu BN mendapatkan semula majoriti dua pertiga yang pernah dikuasai gabungan parti itu dalam Parlimen selepas kehilangan pada pilihan raya umum 2008, kata laporan TMI itu.
Bagaimanapun, para penulis blog Umno telah mengecam Datuk Seri Najib kerana membenarkan pembantu-pembantunya untuk bertanding, sedangkan sokongan akar umbi dalam kawasan pilihan raya masing-masing tidak banyak memihak kepada mereka.
BN menang 133 daripada 222 kerusi dalam Dewan Rakyat, manakala Umno, parti tunjang perikatan itu, pula menguasai 88 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum bulan lalu – tambahan sembilan kerusi berbanding dengan pencapaiannya pada 2008.
Namun, sesetengah ahli veteran Umno telah menyalahkan prestasi kurang memberangsangkan parti itu dan BN kepada ahli strategi “bilik perang” Datuk Seri Najib.
Perasaan itu memberi petanda kemungkinan Datuk Najib menghadapi risiko disingkirkan jika beliau tidak menyingkirkan para ahli strategi yang didakwa tersilap memberi nasihat kepada beliau.
Dua pegawai khas Datuk Seri Najib – Datuk Shahlan dan Datuk Latt Shariman – dikalahkan oleh calon Parti Islam SeMalaysia (PAS) di Kedah, walaupun BN berjaya merampas semula negeri jelapang padi itu daripada Pakatan Rakyat (PR).
Datuk Shahlan kalah dengan 3,935 undi kepada Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, di kawasan Parlimen Pokok Sena. [Gambar]
Datuk Latt Shariman pula dikalahkan oleh seorang lagi calon PAS, Encik Mohd Nasir Mustafa, dengan 1,044 undi di kawasan Dewan Undangan Rakyat (DUN) Kubang Rotan.
Datuk Mohd Shafei, yang merupakan setiausaha politik Datuk Seri Najib di Kementerian Kewangan, kalah kepada Datuk Dr Tan Kee Kwong daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 5,511 undi di kawasan Parlimen Kuala Lumpur, manakala Datuk Mohamad Fatmi dan Datuk Mohamed Suffian masing-masing kalah di kawasan Parlimen Kota Bharu dan Kuantan.
Penyingkiran mereka yang kalah adalah petanda pertama Datuk Seri Najib harus serius menyingkirkan para penasihatnya itu kerana tersilap membaca isyarat daripada akar umbi menjelang pilihan raya bulan lalu.
Bilik perang BN itu ditugaskan untuk memilih calon dan memberikan beberapa nasihat tentang strategi parti itu untuk menang pilihan raya.
Antara ahli bilik perang BN termasuk: Ahli Parlimen (AP) Rompin, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis; Pengerusi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Datuk Seri Alies Anor Abdul; Pengarah Petronas, Encik Omar Mustapha Ong; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan; dan bekas menteri, Datuk Seri Idris Jusoh.
Mereka meramalkan gabungan parti itu menang diantara 145 hingga 150 kerusi dalam Parlimen dan merampas semula Selangor pada pilihan raya bulan lalu, walaupun sesetengah pemimpin kanan BN meragui jangkaan tersebut.
Datuk Seri Najib juga diberi tekanan oleh Umno supaya menjauhkan dirinya daripada nasihat perancang bilik perangnya seperti Datuk Seri Alies Anor, Encik Omar dan Datuk Seri Jamaluddin, kata sumber dalaman BN kepada TMI.
Para pemerhati politik pula berkata kedudukan Datuk Seri Najib dalam Umno mungkin dicabar pada pemilihan pemimpin parti itu pada akhir tahun ini.










