Muslimat Selar Tindakan Suhakam Bantah Keputusan Mahkamah

1602

Masalah gejala sosial yang melanda masyarakat Malaysia semakin berleluasa hari ini, khususnya dalam kalangan muda-mudi dan yang paling malang apabila ianya dipandang remeh oleh sesetengah pihak.

Wabak LGBT dilihat kian menular berikutan tiadanya penguatkuasaan yang sepatutnya terhadap pesalah ini. Ianya jelas bertentangan dengan syariat Islam, serta berlawanan dengan norma hidup insan.
Dan yang paling menakutkan kita sekiranya ianya tidak dihalang akan mengundang bala dari Allah S.W.T. sebagaimana yang berlaku kepada umat Nabi Allah Lut a.s.

Tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mempertikai hukuman yang dijatuhkan kepada dua orang pesalah wanita yang didakwa atas kesalahan hubungan sejenis oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 12 Ogos 2018 adalah sangat tidak wajar.

Alasan mengaibkan pesalah sama sekali tidak munasabah, kerana hukuman yang dikenakan adalah sebagai pengajaran untuk mereka dan seluruh masyarakat Islam.

Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menyelar tindakan SUHAKAM yang dikira menghina keputusan mahkamah tersebut serta meminta Pengerusi SUHAKAM memohon maaf kepada rakyat Malaysia, khasnya rakyat Terengganu, kerana Negeri Terengganu mempunyai undang- undang tersendiri yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Kami muslimat turut berdukacita kerana kesalahan seperti ini berlaku di negeri Terengganu, dan kami menyokong sepenuhnya keputusan dan tindakan yang diambil oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu ini.

Semoga perkara ini dapat menjadi pengajaran buat semua, selain memastikan kesalahan seperti ini sedia dibasmi dengan rasa tanggungjawab bersama seorang muslim.

Hajah Zarani Othman,
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu.
23 Ogos 2018