Muslimat PAS Cakna Mangsa Ditimpa Musibah

653

Oleh :Nur Atika Hussin

BESUT – Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengambil cakna kepada mangsa-mangsa Perumahan Kampung Pantai yang ditimpa musibah akibat dilanda banjir ombak.

Menurut Ketua Muslimat PAS DUN Kuala Besut, Ustazah Napisah Ismail, terdapat sembilan buah rumah lokasinya di pinggir pantai Kuala Besut yang terjejas teruk akibat bencana alam tersebut.

“Alhamdulillah keluarga yang terjejas banjir ombak selamat dipindahkan ke pusat pemindahan pada Jumaat lalu selama beberapa hari dan hari ini masing-masing sudah pulang untuk membersihkan kediaman masing-masing, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada semalam.

Menurutnya, akibat daripada banjir ombak yang melanda, banyak kerosakan dan kerugian dialami mangsa.

Napisah menambah, Muslimat DUN turut menghulurkan sedikit sumbangan dan menziarahi mangsa-mangsa tersebut untuk bertanyakan khabar.

“Mudah-mudahan mangsa-mangsa banjir ombak akan terus sabar dan tabah dengan musibah yang melanda serta menerima takdir Allah dengan redha.

“Pihak PAS juga akan membantu setakat termampu,” jelasnya.

Sementara itu, seorang mangsa yang ditemui, Faidah binti Abdullah, 59, menceritakan detik saat air masuk ke dalam rumahnya sangat cepat, tidak sampai setengah jam seluruh kediamannya dilimpahi air.

“Pasir pantai masuk sampai dalam rumah, pintu dan dinding rumah pecah. Atap pun bocor, susah hatilah juga bila kena macam ni, banyak juga yang nak kena bersih dan baiki rumah.

“Orang PAS bantu gotong royong bersih dan baiki rumah.

Alhamdulillah peruntukan untuk baiki rumah pun ada, ”tambahnya lagi.