Muslimat Pandang Serius Kes Rogol Pelajar Sekolah

56
Nuridah Mohd Salleh

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) memandang serius insiden tragik yang melibatkan pelajar sekolah yang sanggup melakukan jenayah keji terhadap rakan sendiri sehingga meragut maruah dan masa depan seorang insan tidak berdosa.

Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, lebih memilukan apabila tindakan tersebut bukan sahaja dilakukan dengan tanpa rasa bersalah, malah dirakam seolah-olah menjadi bahan hiburan.

“Kejadian ini bukan kes terpencil. Ia adalah isyarat jelas bahawa sistem pendidikan negara sedang berada dalam krisis nilai dan moral yang amat membimbangkan.

“Fokus pendidikan yang terlalu menekankan pencapaian akademik telah lama mengabaikan aspek pembinaan akhlak, sahsiah dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.” Kata beliau dalam satu kenyataan

Oleh itu, katanya, Dewan Muslimat PAS Pusat menegaskan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu melakukan kajian menyeluruh terhadap dasar pendidikan, termasuk menilai semula keberkesanan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan program sahsiah di sekolah.

“Latihan khas kepada guru bimbingan dan kaunseling mesti diperhebat bagi menangani gejala sosial dan mental dalam kalangan pelajar secara proaktif, bukan sekadar reaktif selepas kejadian berlaku,

“Pihak sekolah dan ibu bapa perlu bekerjasama rapat dalam pemantauan tingkah laku anak-anak, termasuk aktiviti media sosial yang kini menjadi ruang subur kepada budaya tular yang merosakkan nilai kemanusiaan,

“Kerajaan juga perlu memperkukuh pendidikan berasaskan nilai Islam dan moral sejagat dalam semua aliran sekolah. “ Tambah beliau.

Justeru kata Ustaz Nuridah, Dewan Muslimat PAS percaya bahawa setiap anak dilahirkan suci dan berpotensi menjadi insan yang baik. Namun, apabila sistem dan persekitaran gagal membimbing mereka, maka rosaklah generasi yang sepatutnya menjadi pemimpin masa hadapan.

“Kami menyeru agar kerajaan segera melihat krisis disiplin ini sebagai isu keselamatan nasional, bukan sekadar isu sekolah. Tindakan pantas, tegas dan berasaskan nilai amat diperlukan sebelum kita kehilangan seluruh generasi kepada gelombang keruntuhan moral yang makin menakutkan.” Ujarnya.