KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) melancarkan Petisyen Nasional “Selamatkan Mereka yang Menyelamatkan Kita” bagi mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan segera memperkukuh keselamatan, kebajikan dan perlindungan petugas kesihatan yang terlibat dalam perkhidmatan udara, operasi pedalaman serta misi outreach.
Ketuanya, Ustazah Hajjah Nuridah Salleh berkata, petugas kesihatan tidak seharusnya dipaksa memilih antara melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan mempertaruhkan keselamatan diri.
Menurutnya, tragedi nahas helikopter perkhidmatan doktor udara di Long Lellang, Sarawak yang mengorbankan lima individu termasuk empat petugas KKM perlu menjadi titik perubahan dalam memastikan keselamatan petugas diberikan keutamaan.
“Negara wajib memastikan mereka yang berkorban demi menyelamatkan nyawa rakyat turut dilindungi dengan sistem keselamatan yang menyeluruh, telus dan berakauntabiliti,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, antara tuntutan utama menerusi petisyen itu ialah pelaksanaan audit keselamatan bebas terhadap semua operasi udara KKM dan memberikan hak kepada petugas untuk menghentikan operasi sekiranya aspek keselamatan diragui


Justeru itu, DMPM turut menggesa penilaian risiko dilakukan sebelum setiap misi, latihan keselamatan dilaksanakan secara berkala dan perlindungan diberikan kepada petugas daripada keletihan serta beban kerja melampau.
Selain itu, kebajikan keluarga mangsa turut diberi perhatian, manakala pelan tindakan pembetulan diminta dibentangkan kepada Parlimen selepas siasatan tragedi selesai.
Dalam pada itu, DMPM menyeru Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik supaya bersama-sama mengangkat keselamatan petugas kesihatan sebagai agenda nasional.
DMPM menegaskan petisyen berkenaan bukan bertujuan menuding jari atau mendahului hasil siasatan.
“Sebaliknya memastikan setiap dapatan siasatan diterjemahkan kepada penambahbaikan dasar dan amalan bagi mengelakkan tragedi sama berulang,” ujarnya.
Sehubungan itu, seluruh rakyat Malaysia, warga kesihatan, badan profesional dan pertubuhan masyarakat sivil diseru memberikan sokongan kepada petisyen tersebut bagi memastikan keselamatan dan kebajikan petugas kesihatan terus menjadi keutamaan negara.




























