Muslimat Istiqamah Bersama Presiden PAS

673

KUALA TERENGGANU – Muslimat Terengganu istiqamah bersama Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan untuk tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri(DUN) Terengganu sehingga tamat tempohnya.

Ketuanya, To’ Puan Zarani Othman berkata sebagai sayap parti, pihaknya akan sentiasa bersama-sama untuk seiring menjayakan setiap pendekatan yang diambil untuk kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik Terengganu.

“Malah, kerajaan negeri Terengganu yang diterajui PAS sedang rancak dengan pelbagai insentif dan projek – projek pembangunan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat negeri,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Apatah lagi, tambahnya, dalam suasana kebanyakan rakyat baru sahaja berhadapan dengan banjir besar dan sudah tentu kerajaan yang prihatin tidak tergamak melukakan hati rakyat semata-mata untuk kepentingan politik sempit.

“PAS sebagai sebuah parti yang berprinsip dan matang amat memahami situasi politik negara yang memualkan rakyat.

” Ini dapat dilihat protes secara senyap setengah daripada mereka dengan tidak keluar mengundi sehingga peratusan yang keluar sangat rendah di Pilihan Raya Negeri(PRN) Johor iaitu hanya 54.92 peratus,” jelasnya.