Muslimat Gesa Kerajaan Negeri Pertimbang Semula Kadar Tarif Air

28

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) menggesa kerajaan negeri meneliti semula pelaksanaan pelarasan tarif air yang diumumkan baru-baru ini agar tidak membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Ketuanya, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, pihaknya memahami keperluan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dalam menampung kos operasi dan penyelenggaraan.

Namun begitu, kenaikan kadar secara mendadak akan memberi kesan ketara kepada pengguna, terutamanya keluarga besar dan isi rumah B40.

“Kerajaan negeri boleh pertimbangan melalui menetapkan mekanisme subsidi bersasar kepada golongan B40.

“Menyemak semula kadar blok tarif melebihi 20 meter padu serta menambah baik langkah pendidikan penggunaan air secara berhemah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya lagi, isu tarif air bukan sahaja melibatkan aspek kewangan pengguna tetapi juga hak rakyat untuk menikmati keperluan asas dengan kadar yang munasabah.

“DMPNT percaya, dengan keprihatinan kepimpinan negeri, penyelesaian terbaik dapat dicapai untuk memastikan keperluan asas rakyat terus terjamin selari dengan dasar Terengganu Maju, Berkat Sejahtera,” ujarnya.