Muslimat, Ameerah Dan Briged Agih Air Minuman

408

KUALA TERENGGANU – Muslimat, Ameerah dan Briged Terengganu bersama membantu warga yang menghadapi masalah bekalan air kali kedua di Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu.

Ketua Muslimat PAS negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, agihan air minuman itu, membantu meringankan masalah, walaupun tidak banyak.

“Untuk misi kali ini, Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu memutuskan membantu masyarakat dengan tenaga sukarelawan bersama Ameerah dan Briged turun ke DUN yang terlibat.

“Kita fokus kepada DUN yang kritikal, bermula dari kelmarin kita telah pun pergi ke DUN Buluh Gading dan hari ini ada YB Zuraida ke DUN Batu Rakit dan Muslimat PAS disertai Briged, Ameerah dan Ahli Jawatankuasa Kerja Muslimat Marang mari ke DUN Tepoh,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang video bersama Ketua Penerangsn PAS Terengganu Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, pada Selasa, 31 Ogos.

Menurutnya, beliau dan kumpulannya telah mengedarkan air tersebut kepada 150 buah rumah di kawasan perumahan Permint Makmur.

Katanya, 16:orang sukarelawan telah mengedarkan air yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri dan sedikit ‘hamper’ makanan di kawasan tersebut.

Beliau menambah, penduduk setempat begitu gembira dan ceria menyambut baik pemberian itu.

“Kita juga sukacita kerana dapat sama ‘memikul berat’ walaupun kita tidak memahami dan merasai masalah yang berlaku,

“Tapi insya Allah, Dewan Muslimat akan terus bersama-sama dalam apa sahaja cabaran yang dihadapi oleh rakyat negeri Terengganu,” tegas beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Ameerah Terengganu, Asma Abdullah berkata, mereka bergilir-gilir setiap hari untuk bersama membantu menghulurkan keperluan asas itu.

“Alhamdulillah pada hari ini kita bersama-sama dengan Muslimat negeri dan Marang, sembilan anggota Ameerah beserta Briged turun ke Tepoh dan DUN Batu Rakit.

“Kalau ditetapkan dalam jadual seramai 10 orang Ameerah. Kelmarin, Hulu Terengganu turun ke DUN Buluh Gading dan Manir. Jadi ini hari ke tiga kita turun mewakili Ameerah negeri kawasan masing-masing,” tambah beliau.